PETALING JAYA – Selangor FC merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Kuching City FC selepas menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon meraih kemenangan kelima berturut-turut untuk mengumpul 15 mata, menyamai kutipan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), namun dibezakan menerusi jaringan gol.
Penyerang Selangor, Chrigor Moraes membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas pantas menyambar bola muntah susulan tandukan A. Selvan yang ditepis penjaga gol Penang, Ramdhan Hamid.
Ramdhan sekali lagi menjadi penghalang apabila menafikan percubaan Syahir Bashah pada minit ke-22 sebelum menyelamatkan rembatan Quentin Cheng dari jarak dekat dua minit kemudian.
Selangor menggandakan kelebihan lima minit selepas babak kedua bermula menerusi Moraes yang melepaskan rembatan susulan sepakan penjuru.
Penang merapatkan jurang menerusi Stefano Brundo pada minit ke-69 sebelum Selangor hampir memperoleh sepakan penalti seminit kemudian, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Moraes berpeluang melengkapkan hatrik pada penghujung perlawanan, tetapi sepakan penaltinya terkena tiang gol.
Ahmad Zikri Khalili kemudian memastikan kemenangan 3-1 buat Selangor menerusi jaringan ketiga pasukan itu.
Sementara itu, Kuching City berpeluang merampas semula kedudukan kedua sekiranya menewaskan DPMM FC dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol dalam aksi di tempat lawan malam ini.
Kuching City sebelum ini seri 1-1 menentang Kitchee dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua pada Khamis lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
