SABAK BERNAM – Seramai 15 jurulatih dari Selangor, Johor dan Sarawak menyertai Klinik Kejurulatihan Bola Sepak Pembangunan Akar Umbi bagi meningkatkan kualiti latihan serta memperkukuh pembangunan bakat muda.
Program anjuran Perintis Academy dengan kerjasama Management and Science University (MSU) itu berlangsung di Stadium Mini Sabak Bernam pada 17 Oktober lalu.
Klinik berkenaan dikendalikan jurulatih berlesen Pro, Raja Isa Raja Akram Shah yang berkongsi ilmu menerusi sesi teori dan praktikal.
Peserta didedahkan kepada pelbagai aspek latihan termasuk kecergasan, kelajuan, ketangkasan dan kemahiran teknikal bagi membantu mereka merancang sesi latihan lebih berkesan.
Selain itu, aspek pemakanan sukan dan pemulihan atlet turut diberi perhatian bagi memastikan pembangunan pemain dilaksanakan secara menyeluruh.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), KBMK dan SAS FC.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan memperkasa jurulatih komuniti sebagai antara tonggak penting dalam melahirkan bakat bola sepak masa hadapan. – DETIK MALAYSIA
