MELAKA – Melaka FC mencipta kejutan apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam Sabtu.
Pemain gantian, R. Ruventhiran muncul wira pasukan tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-86 untuk membantu Melaka mengutip tiga mata penuh.
KL City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Fareed Sadat pada minit ke-12 selepas menewaskan penjaga gol Melaka, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Bagaimanapun, Melaka menyamakan kedudukan sebelum rehat apabila Christian de Souza Andre menyudahkan umpanan Kpah Sean Sherman.
Bersambung babak kedua, Melaka meningkatkan tekanan sebelum Sherman menanduk masuk hantaran De Souza pada minit ke-53 untuk meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1.
KL City kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-76 selepas sepakan penjuru Paulo Josue tertampan masuk ke gawang sendiri oleh pemain Melaka, Syahir Abd Rashid.
Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Ruventhiran memastikan kemenangan Melaka menerusi jaringan pada minit ke-86 sekali gus mencetuskan kegembiraan penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu menyaksikan Melaka melonjak ke tangga keenam Liga Super.
Keputusan tersebut juga berbeza berbanding pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat pada 30 November 2025 apabila KL City menang 3-0 ke atas Melaka yang ketika itu berada di tangga tercorot dan masih belum meraih sebarang kemenangan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KL City
