Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Syafiq Abdullah (empat dari kanan) dan kakitangan syarikat bersama trofi dan sijil anugerah Enteprise 50 (E50) yang diterima.
KUALA LUMPUR – VFive Group Sdn Bhd melakar pencapaian bermakna apabila dinobatkan sebagai antara 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia menerusi Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026.
Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan prestasi perniagaan, keupayaan pengurusan serta daya saing syarikat dalam landskap perniagaan negara.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong pada Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 yang berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, di sini, malam Jumaat.
Pengiktirafan itu mencerminkan perkembangan VFive Group sepanjang 14 tahun beroperasi sehingga berjaya mengembangkan perniagaannya merangkumi sektor pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi maklumat, pembangunan hartanah dan konsesi serta tenaga boleh baharu.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga kerja dalam membangunkan organisasi yang berdaya saing serta mempunyai asas perniagaan kukuh.
“Sepanjang 14 tahun perjalanan VFive Group, kami telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan cabaran yang membentuk keupayaan syarikat sehingga ke tahap hari ini.
“Daripada sebuah syarikat kecil, kami terus membina kepakaran, memperluas bidang perniagaan dan meningkatkan keupayaan organisasi untuk bersaing dalam persekitaran industri yang semakin mencabar,” katanya kepada Detik Malaysia pada Isnin.
Mengulas lanjut, katanya, pengiktirafan E50 itu bukan sekadar pencapaian korporat, malah penghargaan terhadap komitmen seluruh warga kerja yang menyumbang kepada perkembangan syarikat.
Menurutnya, kejayaan berkenaan turut menjadi dorongan untuk syarikat terus meningkatkan keupayaan perniagaan dan memastikan setiap langkah perkembangan dibina berasaskan prinsip kemampanan.
Dalam pada itu, beliau berkata, VFive Group akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor perniagaan sedia ada, selain memperluas penglibatan dalam bidang berpotensi tinggi, khususnya teknologi dan tenaga boleh baharu.
Katanya, strategi pertumbuhan jangka panjang itu turut disokong usaha meningkatkan kecekapan pengurusan, membangunkan modal insan serta memperluas jaringan kerjasama strategik bagi memastikan syarikat kekal relevan dan berdaya tahan menghadapi perubahan pasaran.
Anugerah E50 yang diperkenalkan sejak 1997 itu merupakan platform anjuran SME Corp Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi mengiktiraf syarikat tempatan berprestasi tinggi, berdaya saing dan berpotensi untuk terus berkembang.
Pemilihan penerima dibuat menerusi penilaian menyeluruh yang merangkumi kedudukan kewangan, pertumbuhan hasil, penerapan pendigitalan dan e-dagang, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain pendekatan proaktif dalam pembangunan perniagaan.
E50 2026 yang bertemakan Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan eksport dan pengembangan jaringan perniagaan global menerusi Persidangan Eksport E50 serta Sesi Padanan Perniagaan E50.
Inisiatif itu bertujuan memperkukuh daya saing PMKS Malaysia dalam pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk memperluas jaringan perniagaan.
Pencapaian tersebut mengukuhkan komitmen VFive Group untuk meneruskan pertumbuhan mampan, meningkatkan daya saing serta memperluas sumbangannya kepada pembangunan ekonomi negara. – DETIK MALAYSIA
