JOHOR BAHRU – Malaysia meraih tiga mata penting selepas menewaskan China 3-0 pada saingan Piala Sultan Johor (SoJC) 2026, namun perlu menewaskan Jepun untuk mengesahkan tempat ke final.
Ketua jurulatih negara, Nor Saiful Zaini berkata, skuad negara perlu memperbaiki penyudah selepas mensia-siakan banyak peluang ketika menentang China.
Beliau berkata, masalah penyudah itu bukan perkara baharu kerana turut berlaku ketika saingan Piala Asia sebelum ini.
Menurutnya, kemenangan sahaja tidak mencukupi kerana perbezaan jaringan turut menjadi faktor penentuan untuk ke final.
Jepun sebelum ini mencatat kemenangan dengan kelebihan lapan gol, sekali gus memberi tekanan kepada Malaysia menjelang pertemuan kedua-dua pasukan.
Nor Saiful menyifatkan Jepun sebagai pasukan lebih matang dan tersusun berbanding ketika Piala Asia, selain dibarisi skuad yang diperbaharui.
Justeru, beliau menegaskan pemain negara perlu beraksi dengan bijak, mengekalkan disiplin pertahanan dan meningkatkan jumlah pemain di dalam kotak penalti lawan.
“Kita perlu menang perlawanan ini. Setiap pemain mesti faham bahawa jika mahu ke final, kita perlu menewaskan Jepun,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Johor Hockey Association
