JOHOR BAHRU – Malaysia mempamerkan kebangkitan bergaya apabila menewaskan Jepun 4-2 dalam aksi Piala Sultan Johor (SoJC) 2026, sekali gus membuktikan semangat juang tinggi skuad negara.
Ketua jurulatih negara, Nor Saiful Zaini Nasirrudin memuji keyakinan dan semangat yang ditampilkan pemainnya, namun mengingatkan mereka supaya tidak leka menjelang pertemuan menentang Pakistan hari ini.
Malaysia terlebih dahulu ketinggalan selepas Jepun membuka jaringan sebelum skuad negara menyamakan kedudukan. Jepun kemudian kembali mendahului 2-1, namun Malaysia bangkit menguasai permainan untuk menghasilkan gol-gol kemenangan.
Nor Saiful berkata, anak buahnya mencipta banyak peluang, khususnya pada suku pertama dan kedua, tetapi gagal menyempurnakannya dengan baik.
“Penghargaan kepada Jepun kerana bermain dengan baik. Namun, pada suku pertama dan kedua, kami mempunyai banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya.
“Kami menjaringkan satu gol sebelum menyamakan kedudukan dan walaupun Jepun mendahului 2-1, kami masih mempunyai peluang,” katanya.
Menurutnya, kemenangan itu menjadi pengajaran berguna kepada pemain untuk meningkatkan keyakinan bahawa mereka mampu menjaringkan gol apabila memperoleh peluang.
“Saya fikir ini pengajaran terbaik buat mereka. Mereka kini percaya bahawa jika mendapat peluang, mereka mampu menjaringkan gol.
“Saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif, begitu juga semangat yang ditunjukkan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Saiful mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu memandangkan mereka perlu berdepan Pakistan dalam tempoh singkat.
Katanya, faktor keletihan perlu ditangani dengan baik bagi memastikan pemain mampu mengekalkan prestasi ketika beraksi dalam keadaan fizikal yang kurang cergas.
“Kami tidak boleh leka kerana esok kami akan menentang Pakistan. Pemain mungkin sedikit keletihan dan kami perlu belajar bermain dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Beliau menyifatkan Pakistan sebagai antara pasukan terbaik dalam kejohanan itu dan menjangkakan perlawanan berkenaan bukan tugas mudah buat Malaysia.
Nor Saiful turut memberi bayangan kemungkinan beberapa perubahan dilakukan terhadap barisan pemain bagi menghadapi cabaran seterusnya. – DETIK MLAYSIA
Kredit foto – Hokita
