SHAH ALAM – Krisis kos sara hidup, harga rumah yang semakin tidak mampu dimiliki dan ketidakjaminan pekerjaan antara faktor yang mencetuskan keresahan rakyat di Eropah, termasuk Perancis dan Itali.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan itu mencerminkan persoalan lebih besar mengenai keberkesanan sistem ekonomi dunia dalam memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara adil oleh masyarakat.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dinilai berdasarkan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK), keuntungan syarikat atau nilai aset semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan rakyat memenuhi keperluan asas.
“Apabila pertumbuhan ekonomi tidak lagi diterjemahkan kepada rumah yang mampu dimiliki, makanan yang berpatutan, pekerjaan yang bermaruah dan masa depan yang terjamin, maka asas legitimasi sistem itu sendiri mula dipersoalkan,” katanya dalam analisis mengenai kebangkitan rakyat Eropah.
Mengulas situasi di Perancis, beliau berkata, ketegangan sosial dan ketidakpuasan terhadap kos kehidupan, perkhidmatan awam serta kepimpinan politik menunjukkan hubungan rapat antara kestabilan politik dengan keadilan ekonomi.
Katanya, langkah penjimatan ketika kerajaan berdepan tekanan kewangan boleh memberi kesan kepada perkhidmatan awam, pendidikan dan kesejahteraan pekerja.
Di Itali pula, masalah pertumbuhan produktiviti yang lemah, tekanan pendapatan isi rumah, jurang antara wilayah dan ketidakjaminan pekerjaan terus menjadi cabaran.
Menurut beliau, keadaan itu turut menimbulkan persoalan apabila seseorang yang bekerja sepenuh masa masih berdepan kesukaran menyewa rumah, membiayai pendidikan anak atau membina simpanan untuk hari tua.
“Bagi golongan muda, masalah ini lebih mendalam. Apabila pekerjaan stabil sukar diperoleh dan harga rumah berada di luar kemampuan, mereka mungkin terpaksa bergantung kepada keluarga lebih lama,” katanya.
Dalam pada itu, krisis perumahan turut menjadi antara petunjuk ketidakseimbangan pengagihan kemakmuran di Eropah.
Berdasarkan data Eurostat yang dipetik dalam analisis tersebut, harga rumah di Kesatuan Eropah meningkat sebanyak 53 peratus antara 2010 hingga 2024.
Pada 2025, kira-kira 7.7 peratus penduduk Kesatuan Eropah tinggal dalam isi rumah yang membelanjakan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka untuk kos perumahan.
Beliau berkata, tekanan kos sara hidup juga tidak semestinya berakhir apabila kadar inflasi menurun kerana harga barangan yang telah meningkat tidak semestinya kembali ke paras asal.
Keadaan itu boleh menyebabkan golongan berpendapatan rendah terpaksa membuat pilihan sukar antara makanan, sewa rumah, tenaga dan keperluan kesihatan, manakala pekerja berpendapatan sederhana pula berdepan risiko kemerosotan kuasa beli.
Mengulas isu tadbir urus, Mohd Azmi berkata, rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, terutama apabila masyarakat diminta menerima langkah penjimatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dakwaan rasuah perlu dibezakan daripada kes yang telah dibuktikan melalui proses undang-undang, selain punca khusus sesuatu demonstrasi tidak wajar diputuskan tanpa bukti.
Menurutnya, perkembangan di Eropah turut memberi pengajaran kepada Malaysia dan negara-negara Islam supaya tidak menganggap pertumbuhan ekonomi secara automatik dapat menyelesaikan masalah ketidaksamaan, perumahan, pekerjaan dan kos sara hidup.
Beliau menggariskan keperluan memperkukuh perumahan mampu milik, meningkatkan produktiviti, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana, memperluas perlindungan sosial serta memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan secara telus.
Selain itu, kerjasama ekonomi antara negara Islam perlu diperkukuh dalam bidang perdagangan, keselamatan makanan, industri halal, teknologi dan pembiayaan pembangunan supaya manfaatnya dapat dirasai pekerja serta pengeluar kecil.
Dari perspektif Islam, beliau berkata, pembangunan ekonomi perlu berpaksikan keadilan, amanah dan tanggungjawab sosial, bukannya pengumpulan kekayaan dalam kelompok tertentu.
“Ukuran sebenar kejayaan ekonomi bukan berapa banyak kekayaan yang dapat dikumpulkan oleh sesebuah negara, tetapi sejauh mana rakyatnya dapat hidup dengan bermaruah, membina keluarga dengan yakin dan mewariskan masa depan yang lebih baik kepada generasi seterusnya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
