KUALA LUMPUR – Kapten Indonesia, Kevin Diks menganggap pemain sayap Malaysia, Arif Aiman Hanapi sebagai lawan paling sukar dihadapinya sepanjang saingan Piala ASEAN FIFA.
Diks turut menyifatkan insiden tegang bersama penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva sebagai perkara biasa dalam bola sepak.
Ketika ditemu bual media Indonesia, Olahbola, Diks mengakui dia sangat kagum dengan kemampuan Arif Aiman yang beraksi bersama JDT.
Menurutnya, dia mula memberikan perhatian khusus kepada pemain berusia 23 tahun itu apabila Arif Aiman semakin kerap bergerak ke arah kawasan yang dikawalnya pada separuh masa kedua.
Justeru, Diks memilih untuk sentiasa berada dekat dengan Arif Aiman bagi menghalang pemain itu daripada menerima bola.
Diks turut mendedahkan Arif Aiman pernah mentertawakannya kerana memahami tindakan pertahanan itu sebagai satu strategi bijak.
Dia percaya Arif Aiman mempunyai kemampuan untuk beraksi di Eropah, namun memahami sekiranya pemain itu memilih untuk terus kekal beraksi di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Diks turut mengulas pertelingkahannya dengan Bergson yang menjadi perhatian selepas beberapa rakaman insiden itu tersebar di media sosial.
Menurutnya, suasana pada separuh masa pertama agak tegang apabila dia cuba membuatkan Bergson keluar dari padang kerana mendakwa penyerang itu berlebihan ketika terjatuh.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain kembali berinteraksi secara santai pada separuh masa kedua.
“Ini semua tentang rasa hormat. Dia akan menyepak saya, saya akan menyepaknya,” katanya.
Malaysia dan Indonesia bertemu dalam aksi Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 28 September lalu dengan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.
Perlawanan itu berlangsung sengit, terutama pada separuh masa pertama sebelum Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-37 selepas Thom Haye dilayangkan kad merah menerusi bantuan video bantuan pengadil (VAR) kerana memijak Arif Aiman.
Diks memakai lilitan kapten dalam perlawanan tersebut ketika Indonesia mempertahankan keputusan seri berkenaan.
Indonesia kemudian muncul juara Kumpulan A berdasarkan jumlah jaringan selepas membelasah Bangladesh 9-2, manakala Malaysia menewaskan Singapura 6-0.
Skuad Indonesia seterusnya muncul juara edisi sulung kejohanan itu selepas menewaskan Thailand 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir, 5 Oktober lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
