KUALA LUMPUR – Jaguh Muay Thai negara, Aliff Sor Dechapan bakal berdepan juara dunia, Prajanchai Pong-Suphan P.K. dalam pertarungan penyatuan gelaran Muay Thai strawweight ONE pada 18 Disember ini.
Pertarungan itu dijadual berlangsung pada acara ONE The Inner Circle 43 di Stadium Lumpinee (Ramintra), Bangkok, Thailand.
Aliff, 22, yang juga pemegang gelaran interim, sekian lama menantikan peluang untuk menguji kemampuan menentang Prajanchai, 32, bagi menentukan pemilik tunggal gelaran dunia berkenaan.
Kedua-dua petarung itu sebelum ini sudah dua kali bersemuka, namun pertarungan mereka tertangguh ketika Prajanchai menjalani pemulihan akibat kecederaan.
Aliff hadir dengan prestasi terbaik dalam kariernya apabila mencatat enam kemenangan berturut-turut.
Pada Julai lalu, dia menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan kalah mati pada pusingan kelima di acara The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee.
Kemenangan itu membolehkan Aliff meraih gelaran interim sekali gus mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memegang gelaran dunia ONE.
Pada Ogos lalu, Aliff menyatakan hasrat agar pertarungan penyatuan gelaran itu berlangsung di Malaysia bagi membolehkannya mendapat sokongan penyokong sendiri selain memberikan tekanan tambahan kepada lawannya.
Dia turut menyuarakan impian untuk mempertahankan gelaran itu sekurang-kurangnya selama tiga tahun sekiranya berjaya meraih kemenangan, selain mahu memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk menceburi sukan Muay Thai.
Bagaimanapun, Prajanchai dijangka memberikan cabaran sengit kepada Aliff.
Petarung Thailand itu pernah mempertahankan gelaran Muay Thai menerusi kemenangan TKO pada pusingan keempat ke atas wakil Britain, Ellis Badr Barboza, pada ONE Fight Night 28, Februari 2025.
Namun, dia tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Jonathan Di Bella pada ONE Fight Night 36, Oktober tahun sama, sekali gus kehilangan gelaran kickboxing strawweight ONE.
Prajanchai kemudian berehat selama setahun akibat kecederaan sebelum kembali beraksi pada 16 Oktober lalu dalam acara The Inner Circle 35.
Bagaimanapun, dia tewas menerusi keputusan majoriti juri 2-1 kepada wakil China, Wang Junguang dalam pertarungan kickboxing.
Prajanchai dilaporkan sudah kembali cergas dan bersedia menghadapi pertarungan penyatuan gelaran menentang Aliff.
Peminat yang menjadi ahli ONE boleh menyaksikan aksi itu secara langsung menerusi Live.ONEFC.com dari pukul 7.30 hingga 9.30 malam waktu Thailand. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
