KUALA LUMPUR – UXR Management Group menjelaskan tanggungjawabnya sebagai pengurusan petinju Muay Thai negara, Rifdean Masdor, hanya meliputi urusan dokumentasi, penjenamaan, pemasaran dan pentadbiran berkaitan.
Dalam kenyataan rasmi bertarikh 19 Oktober lalu, UXR menegaskan persiapan sebelum pertarungan termasuk proses menurunkan berat badan dan pengurusan hidrasi adalah tanggungjawab gim yang mengendalikan latihan serta penjagaan atlet berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelbagai spekulasi dan komen di media sosial mengenai pertarungan Rifdean menentang wakil Jepun, Nadaka Yoshinari, pada ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, pada 17 Oktober lalu.
Pada masa sama, UXR memohon maaf bagi pihak pengurusan dan Rifdean kepada ONE Championship, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chatri Sityodtong, atas sebarang kekhilafan atau kekeliruan yang mungkin timbul.
Menurut UXR, pihaknya berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik.
Pengurusan itu turut merakamkan penghargaan kepada ONE Championship dan rakyat Malaysia atas peluang serta sokongan yang diberikan kepada Rifdean untuk beraksi di pentas promosi berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan punca spekulasi berkenaan, selain tidak menamakan gim yang bertanggungjawab terhadap persiapan atlet tersebut.
Sebelum ini, ONE Championship memaklumkan pada 16 Oktober bahawa Rifdean gagal melepasi had berat badan dan ujian hidrasi menjelang pertarungan merebut gelaran dunia.
Rifdean kemudian melepasi ujian hidrasi di luar tempoh rasmi ditetapkan sebelum mencatat berat 118.6 paun, iaitu 3.6 paun melebihi had kategori atomweight Muay Thai sebanyak 115 paun.
Pertarungan itu tetap diteruskan sebagai aksi perebutan gelaran dunia lima pusingan, namun Rifdean tidak layak memenangi tali pinggang berkenaan.
Pada malam pertarungan, Nadaka, 25, menewaskan Rifdean menerusi tendangan kiri ke kepala pada minit ke-58 pusingan kedua untuk mempertahankan gelaran Juara Dunia Muay Thai Atomweight ONE sekali gus melanjutkan rekod kemenangan berturut-turutnya kepada 43 pertarungan.
Kekalahan itu turut memusnahkan peluang Rifdean untuk menjadi rakyat Malaysia kedua memenangi gelaran dunia ONE Championship selepas Aliff Sor Dechapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rifdean turut mengeluarkan permohonan maaf secara peribadi berhubung kenyataan media sosialnya sebelum ini. Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak menyebut pertarungan di Tokyo, manakala kenyataan UXR tidak merujuk kepada permohonan maaf berkenaan.
Rifdean yang dikenali dengan gelaran Magic Boy sebelum ini memperoleh kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 menerusi kemenangan kalah mati pusingan pertama ke atas wakil Iran, Javad Mozafari, pada acara The Inner Circle 19 tahun ini.
Dia tiba di Tokyo dengan rekod lima kemenangan berturut-turut dalam ONE Championship dan dianggap antara prospek Muay Thai negara yang mendapat perhatian ramai. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
