SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam, namun menuntut penjelasan rasmi mengenai asas keselamatan dan dasar yang membawa kepada tindakan itu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah berkenaan wajar diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh keselamatan siber negara, melindungi kepentingan strategik Malaysia serta memastikan penggunaan teknologi digital selari dengan tanggungjawab moral dan dasar luar negara.
Menurutnya, aplikasi digital bukan sekadar kemudahan harian, sebaliknya berpotensi melibatkan pengumpulan data lokasi, corak pergerakan pengguna dan pemprosesan maklumat yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan individu, organisasi serta negara.
“Kerajaan perlu menjelaskan asas penilaian keselamatan yang membawa kepada larangan Waze supaya keputusan ini difahami sebagai langkah melindungi kepentingan negara berasaskan bukti, bukannya tindakan simbolik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai dasar kedaulatan digital yang jelas, konsisten dan berasaskan penilaian risiko, terutama bagi aplikasi yang digunakan penjawat awam yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif atau terlibat dalam operasi strategik kerajaan.
Katanya, penilaian itu perlu mengambil kira keselamatan data, pemilikan korporat, bidang kuasa undang-undang, amalan perkongsian maklumat serta tahap kawalan pengguna terhadap data peribadi.
Dalam masa sama, MAPIM mengingatkan bahawa asal usul sesebuah syarikat tidak semestinya membuktikan produknya menyalurkan maklumat kepada kerajaan tertentu atau mengancam keselamatan negara.
“Dakwaan sedemikian perlu disokong bukti yang boleh dinilai. Pada masa sama, pemilikan korporat, hubungan strategik dan bidang kuasa undang-undang merupakan faktor sah yang perlu dimasukkan dalam penilaian risiko,” katanya.
Mengulas kaitan isu itu dengan perjuangan Palestin, Mohd Azmi berkata, solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin perlu diterjemahkan secara munasabah dalam dasar institusi, termasuk penelitian terhadap hubungan ekonomi, teknologi, perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap tindakan perlu mempunyai asas kukuh, objektif jelas dan mekanisme pelaksanaan berkesan, selain mengambil kira fakta, pematuhan undang-undang serta kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, MAPIM meminta kerajaan menjelaskan sama ada larangan berkenaan berpunca daripada penilaian keselamatan siber, pertimbangan pemilikan korporat, dasar berkaitan Palestin atau gabungan faktor tersebut.
Beliau turut menggesa kerajaan memperluas penilaian keselamatan kepada keseluruhan ekosistem digital yang digunakan dalam urusan rasmi perkhidmatan awam, termasuk aplikasi komunikasi, penyimpanan awan, kecerdasan buatan dan analitik data.
Katanya, garis panduan telus perlu disediakan berhubung aplikasi yang dibenarkan, kategori data yang boleh dikongsi, penggunaan peranti peribadi bagi urusan rasmi serta langkah perlindungan yang perlu dipatuhi penjawat awam.
“Jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip yang sama hendaklah diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial mereka.
“Konsistensi dasar merupakan ukuran penting terhadap kesungguhan kerajaan mempertahankan kedaulatan digital negara,” katanya.
Selain itu, MAPIM menggesa kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing dengan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan teknologi navigasi, pemetaan digital serta pengurusan data tempatan.
Kerjasama antara agensi awam, universiti, penyelidik dan syarikat teknologi tempatan juga perlu digalakkan bagi membangunkan alternatif yang selamat, cekap dan memenuhi keperluan pengguna.
Dalam kenyataan sama, MAPIM mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan, iaitu penjelasan rasmi mengenai asas larangan Waze, audit risiko digital, pelaksanaan dasar yang konsisten, penyediaan alternatif selamat serta pengukuhan kedaulatan teknologi negara.
Mohd Azmi berkata, alternatif yang dibangunkan juga perlu dinilai dari segi ketepatan navigasi, perlindungan privasi, keselamatan siber, kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal supaya peralihan aplikasi tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan awam.
“Jika larangan ini berasaskan penilaian risiko yang kukuh, MAPIM menyokong usaha kerajaan melindungi kepentingan strategik negara. Namun, tindakan tersebut perlu menjadi sebahagian daripada dasar lebih menyeluruh, telus dan konsisten, bukan keputusan terasing yang tidak diikuti pembaharuan lain.
“Teknologi mesti berkhidmat kepada manusia, keselamatan negara dan keadilan. Kedaulatan digital tidak boleh dikompromikan, manakala prinsip kemanusiaan mesti diterjemahkan melalui dasar berasaskan fakta, konsisten serta berkesan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
