PHILLIP ISLAND – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli teruja untuk beraksi di Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island hujung minggu ini dalam usaha memburu mata berharga pada Kejuaraan Dunia MotoGP 2026 kelas Moto3.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu bangkit selepas mengharungi perlumbaan sukar di GP Indonesia sebelum kembali ke tanah air bagi menghadapi GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Pada GP Indonesia, Hakim Danish terpaksa memulakan perlumbaan dari petak belakang sebelum bangkit daripada kedudukan ke-26 untuk menamatkan saingan di tempat ke-12.
Bagaimanapun, pelumba berusia 19 tahun itu dikenakan penalti tiga saat susulan insiden pada pusingan terakhir bersama pelumba GRYD Racing, Joel Kelso, yang terjatuh, sekali gus menyaksikan kedudukannya merosot ke tangga ke-14.
Hakim Danish menjelaskan dia kehilangan cengkaman tayar hadapan ketika cuba memintas Kelso dan sudah memohon maaf atas insiden berkenaan.
Keputusan itu menyaksikan dia mengutip dua mata untuk mengumpul keseluruhan 107 mata, sekali gus berada di kedudukan kesembilan dalam kejuaraan dunia Moto3.
Bagaimanapun, insiden tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk menghadapi cabaran di Australia, yang menjadi peluang terbaik untuk memperbaiki prestasi sebelum beraksi di laman sendiri.
“Persiapan saya untuk GP Australia berjalan lancar dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.
“Melihat kepada litar ini, saya fikir ia sangat menarik. Saya tidak sabar untuk menjalani sesi latihan pertama pada Jumaat,” katanya.
Menurutnya, dia menjalani latihan di Malaysia selain meneliti semula kesilapan yang dilakukan dalam dua perlumbaan terakhir bagi memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi perlumbaan hujung minggu ini.
“Saya cuba memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi GP Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Hakim Danish turut memaklumkan kecederaan bahu yang dialaminya selepas terbabit dalam tiga kemalangan ketika GP Jepun semakin pulih.
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin sembuh. Masih ada sedikit kesakitan, tetapi ia bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin berkata, Phillip Island mempunyai karakter berbeza berbanding litar lain, terutama dari segi susun atur serta kedudukannya berhampiran laut.
“Litar ini mempunyai ciri-ciri kelajuan tinggi dengan keadaan angin yang agak kuat. Cuaca di sana juga sering tidak menentu, terutama pada penghujung Oktober,” katanya.
Menurutnya, beliau menghabiskan banyak masa minggu lalu untuk meneliti rakaman perlumbaan bersama Hakim Danish serta merancang pendekatan terbaik bagi sesi latihan pada Jumaat.
“Saya berharap segala usaha minggu lalu dapat membawa perubahan positif kepada Hakim Danish. Kami mahu melihat dia beraksi cemerlang di Phillip Island,” katanya.
Zulfahmi bagaimanapun tidak dapat bersama pelumba itu di Australia dan berharap Hakim Danish dapat mengharungi perlumbaan tanpa sebarang gangguan atau penalti, selain menjaga keselamatan ketika beraksi.
“Saya berharap dia dapat mengharungi perlumbaan tanpa sebarang gangguan atau penalti, memastikan keselamatan ketika berlumba dan bersedia sepenuhnya untuk GP Malaysia minggu depan,” katanya.
Hakim Danish sebelum ini turut dikenakan penalti bermula dari petak belakang di Mandalika akibat menunggang terlalu perlahan ketika sesi kelayakan, selain penalti 12 petak di GP Republik Czech pada Jun lalu susulan kesalahan berulang.
Bagaimanapun, dia tetap mempamerkan kebangkitan apabila memenangi perlumbaan di Republik Czech selepas memulakan saingan dari petak ke-14.
GP Australia kali ini turut membawa makna tersendiri apabila Phillip Island dijadual menjadi tuan rumah perlumbaan itu buat kali terakhir sebelum kejuaraan berpindah ke Adelaide mulai 2027. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
