KELANA JAYA – Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuching City FC 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, malam tadi.
Kemenangan skuad Gergasi Merah itu hadir hasil dua jaringan pemain tengah, Eduardo Sosa yang menjadi pemisah dalam pertembungan sengit berkenaan.
Keputusan itu juga memberi peluang kepada Selangor untuk membalas dendam selepas disingkirkan Kuching City pada saingan Piala Malaysia musim lalu.
Bagaimanapun, Kuching City terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap kebangsaan, Ramadhan Saifullah Usman pada minit kesembilan.
Ramadhan mempamerkan aksi individu menarik sebelum menewaskan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Sosa menyamakan kedudukan buat Selangor 10 minit kemudian bagi menghidupkan kembali peluang tuan rumah.
Kedua-dua pasukan terus memburu jaringan tambahan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor meningkatkan tekanan sebelum Sosa sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-58.
Sosa menyudahkan hantaran Chrigor Moraes dengan baik untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli sekali gus meletakkan Selangor di hadapan.
Bagaimanapun, Sosa kemudian dikeluarkan dan digantikan Kay Tejan selepas mengadu mengalami ketidakselesaan pada bahagian hamstring.
Kuching City terus mengasak bagi mencari gol penyamaan pada penghujung perlawanan, namun percubaan pemain gantian, Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-88 berjaya dinafikan Sikh Izhan.
Selangor akhirnya mempertahankan kelebihan 2-1 sehingga wisel penamat untuk membawa bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di Kuching pada 8 November ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC
