SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam tindakan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia yang dilaporkan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia pada 24 Oktober lalu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai pendekatan yang digunakan untuk menyuarakan tuntutan politik berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Menurutnya, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara yang perlu dihormati oleh setiap rakyat Malaysia, sama ada di dalam atau luar negara.
“Perbezaan pandangan politik, ketidakpuasan hati terhadap dasar kerajaan atau tuntutan berkaitan hak wilayah tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk memperlekeh lambang kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, naratif yang menggambarkan Semenanjung Malaysia sebagai penjajah kepada Sabah dan Sarawak juga tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan permusuhan antara rakyat kedua-dua wilayah itu.
Katanya, persoalan sejarah pembentukan Malaysia perlu dibahaskan secara jujur, mendalam dan berasaskan dokumen, bukannya dimanipulasi sehingga menimbulkan kebencian serta prasangka dalam kalangan rakyat.
HAK SABAH, SARAWAK PERLU DIBELA
Dalam pada itu, MAPIM mengiktiraf sejarah, identiti, kepentingan serta kedudukan tersendiri Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Azmi berkata, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemeliharaan hak perlembagaan, autonomi yang dipersetujui serta penyelesaian tuntutan yang masih berbangkit perlu terus diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, perjuangan menuntut hak perlu dilaksanakan melalui hujah berasaskan bukti, rundingan bertanggungjawab dan tindakan yang mampu menghasilkan penyelesaian.
“Dakwaan bahawa Malaya menjajah Sabah dan Sarawak tidak boleh diterima sebagai kesimpulan sejarah yang muktamad tanpa penelitian terhadap dokumen pembentukan Malaysia, peruntukan perlembagaan dan konteks sejarah yang berkaitan.
“Pada masa sama, persoalan mengenai pelaksanaan MA63 tidak boleh diketepikan hanya kerana terdapat pihak yang menggunakan pendekatan provokatif,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha mempertahankan maruah negara dan meneliti tuntutan hak secara adil perlu dilaksanakan secara seiring.
JANGAN CETUS PERMUSUHAN ANTARA WILAYAH
MAPIM turut mengingatkan bahawa perpaduan negara tidak boleh dibina melalui paksaan atau penafian terhadap keluhan rakyat, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi keadilan, penghormatan terhadap kepelbagaian wilayah dan kesungguhan kerajaan menunaikan tanggungjawabnya.
Azmi berkata, sentimen yang menggambarkan rakyat Semenanjung sebagai musuh kepada masyarakat Sabah dan Sarawak hanya akan memperdalam jurang kepercayaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah dan Sarawak supaya tidak menganggap tindakan sesebuah kumpulan sebagai gambaran pendirian keseluruhan masyarakat di wilayah berkenaan.
Rakyat Semenanjung pula, katanya, tidak seharusnya membalas provokasi dengan penghinaan atau prasangka terhadap masyarakat Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, perbezaan pandangan mengenai masa depan Persekutuan perlu ditangani melalui dialog demokratik, penelitian sejarah dan proses perlembagaan yang sah.
KERAJAAN DIMINTA PERKUKUH PELAKSANAAN MA63
Dalam perkembangan sama, MAPIM menggesa Kerajaan Persekutuan meneruskan usaha melaksanakan komitmen MA63 secara telus serta memperkukuh mekanisme rundingan dengan Sabah dan Sarawak.
Kerajaan juga diminta memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai kemajuan, halangan dan perkara yang masih belum diselesaikan berkaitan pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Selain itu, pendidikan sejarah Malaysia perlu diperkasakan bagi memastikan generasi muda memahami proses pembentukan negara secara menyeluruh, termasuk latar belakang Sabah dan Sarawak serta asas perlembagaan Persekutuan.
Azmi berkata, sekiranya terdapat dakwaan pelanggaran undang-undang berkaitan tindakan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik, pihak berkuasa berbidang kuasa perlu meneliti perkara itu berdasarkan bukti dan undang-undang yang terpakai.
Katanya, sebarang tindakan susulan hendaklah dilaksanakan secara profesional, adil dan menghormati prinsip undang-undang.
Masyarakat juga diseru menyemak kesahihan kandungan media sosial sebelum menyebarkannya serta mengelakkan tuduhan yang melampaui fakta yang telah disahkan.
“Jalur Gemilang mesti dihormati. Hak Sabah dan Sarawak mesti dipelihara. Perpaduan rakyat Malaysia mesti diperkukuh dengan keadilan, bukan diperalatkan melalui kebencian,” katanya. – DETIK MALAYSIA
