Cabaran arus sungai deras berliku dan halangan semula jadi di sepanjang Sungai Berang perlu ditempuhi oleh setiap pelumba Little Amazon of Terengganu River Challenge 2026.
HULU BERANG – Seramai 46 pendayung menguji keupayaan masing-masing merentasi laluan sungai sejauh 10 kilometer pada penganjuran sulung Little Amazon of Terengganu River Challenge (LARC) di Sungai Hulu Berang, Ahad lalu.
Kejohanan itu menarik penyertaan atlet kebangsaan, bekas atlet negara serta peserta dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, sekali gus menyaksikan persaingan merentas empat kategori yang dipertandingkan.
Saingan Lelaki Elit menyaksikan pasangan Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Mustakim Zulkarnain membuktikan keupayaan mereka apabila muncul juara dengan catatan satu jam 15 minit 53 saat.
Kedua-dua pendayung itu sebelum ini meraih pingat perak pada Kejohanan Dunia Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 di Filipina, manakala pasukan tuan rumah terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan Kamikaze Buga di kedudukan ketiga.

Pengarah perlumbaan, Mohd Najib Alias, berkata laluan yang digunakan menawarkan cabaran tersendiri walaupun sungai berkenaan diklasifikasikan sebagai Kelas 1.
Menurutnya, peserta perlu menggabungkan ketahanan fizikal dan kemahiran mengendalikan kayak bagi mengharungi arus deras, selekoh berliku serta beberapa bahagian cetek memberi cabaran tersendiri buat setiap pelumba.
“Bukan mudah untuk menamatkan kayuhan sejauh 10 kilometer di laluan ini. Selain faktor ketahanan fizikal, peserta juga perlu berdepan keadaan air cetek di beberapa lokasi yang menuntut tenaga tambahan sebelum tiba di garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata sambutan terhadap edisi pertama LARC memberi petunjuk positif kepada penganjur untuk memperluas penyertaan menerusi pengenalan kategori tambahan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Hakimi Abdullah, yang meraih tempat kedua dalam kategori Campuran Elit, berpandangan kejohanan seumpama itu mampu menyediakan lebih banyak peluang kepada atlet tempatan untuk menguji kemampuan dalam suasana kompetitif.
Katanya, Malaysia mempunyai potensi untuk melahirkan pendayung yang mampu mencabar kedudukan di peringkat Asia dan Olimpik, namun pembangunan bakat dari peringkat akar umbi perlu terus diberi perhatian.
Muhammad Hakimi, yang pernah membimbing skuad kanu negara pada Sukan SEA 2011, 2013 dan 2015, turut menyifatkan Hulu Berang sebagai lokasi yang berpotensi diketengahkan dalam kalendar pertandingan kayak negara berdasarkan kemudahan, akses logistik dan pengalaman perlumbaan yang ditawarkan.



Bagi kategori Terbuka Lelaki, Mohammad Zulhaiqal Mohd Nasri dan Muhammad Aizat Ishak meraih kejuaraan selepas mencatat masa satu jam 16 minit dua saat.
Kategori Campuran Elit pula dimenangi Tuan Muhammad Hidzam Tuan Dolah dan Nur Sarah Adiba Suhaimi dengan catatan satu jam 15 minit empat saat, manakala Nur Aina Natasha Riduan dan Ahmad Haziman Ahmad Rozi muncul juara kategori Campuran Terbuka.
Perlumbaan menggunakan kayak jenis sit-on-top dua tempat duduk (SOT Double) itu bermula di Jenoba Camp Site, Belukar Bukit dan berakhir di CBT Kalang Rengas. – DETIK MALAYSIA
