KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia perlu menjadikan 10 agenda kenegaraan sebagai keutamaan bagi memastikan maruah, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Penulis dan aktivis masyarakat, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbincangan mengenai pengganti Perdana Menteri tidak seharusnya hanya tertumpu kepada individu, kekuatan politik atau gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan.
Sebaliknya, katanya, perkara lebih penting ialah memastikan bakal pemimpin negara mempunyai visi dan misi yang jelas serta berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, agenda berkenaan merangkumi usaha memulihkan maruah dan kedaulatan negara, menghapuskan kemiskinan serta ketidaksamarataan dan membina ekonomi yang berdikari serta berdaya saing.
“Perdana Menteri juga perlu memastikan integriti, ketelusan dan keadilan dalam pemerintahan selain memperkukuh pendidikan serta membina generasi berilmu.
“Keharmonian masyarakat majmuk juga perlu dipertahankan, di samping menjamin keselamatan makanan, air dan sumber asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggariskan keperluan memperkukuh sistem kesihatan dan perlindungan sosial, memperkasa institusi keluarga, belia serta wanita dan menjadikan Malaysia negara yang berpengaruh dalam memperjuangkan keadilan global.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, kepimpinan Perdana Menteri perlu dinilai berdasarkan keupayaan meningkatkan taraf hidup rakyat, mengurangkan kemiskinan dan jurang kekayaan serta mempertahankan kepentingan negara.
Jelasnya, aspek integriti, pendidikan, perpaduan, keselamatan, kebebasan institusi, kelestarian alam sekitar dan pendirian diplomatik juga perlu dijadikan kayu ukur kepimpinan.
Beliau berkata, calon yang bercita-cita memimpin negara sewajarnya bersedia membuat komitmen terbuka untuk menolak rasuah, salah guna kuasa dan penyalahgunaan institusi kerajaan.
Katanya, bakal pemimpin juga perlu memastikan setiap dasar kerajaan mempunyai sasaran, petunjuk prestasi dan mekanisme pertanggungjawaban yang jelas.
“Malaysia memerlukan kesinambungan agenda kenegaraan yang melangkaui tempoh seseorang Perdana Menteri.
“Kepimpinan boleh bertukar, tetapi kepentingan negara tidak boleh dikompromikan,” katanya.
Tambah beliau, agenda berkenaan perlu menjadi persefahaman nasional antara kerajaan, pembangkang, Parlimen, institusi masyarakat sivil, sektor swasta, universiti dan rakyat.
Mohd Azmi menegaskan Malaysia tidak ketandusan tokoh yang mahu menjadi Perdana Menteri, namun persoalan utama ialah sama ada individu berkenaan mempunyai agenda cukup besar untuk mengangkat martabat rakyat dan negara. – DETIK MALAYSIA
