KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan menjadikan ketiadaan beberapa tonggak utama sebagai alasan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China di Zhaoqing, esok.
Sebaliknya, beliau mahu barisan pemain yang dibentuk semula menggunakan peluang berkenaan untuk membuktikan kemampuan masing-masing di pentas antarabangsa.
Tan Cheng Hoe berkata, ketiadaan pemain terbaik tidak seharusnya menjejaskan semangat skuad negara, malah menjadi ruang kepada pemain baharu untuk menimba pengalaman dan membina keyakinan.
“Saya tidak boleh menjadikan alasan bahawa kami tidak membawa pemain terbaik atau kehilangan beberapa pemain utama.
“Saya sangat positif kerana ini peluang besar untuk pemain lain beraksi di peringkat antarabangsa. Pemain baharu mempunyai cita-cita dan impian untuk beraksi, paling penting mereka memperoleh pengalaman serta keyakinan dalam perjalanan bersama pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Zhaoqing, hari ini.
Mengulas mengenai kekuatan China, Cheng Hoe mengakui skuad tuan rumah memiliki kelebihan dari segi fizikal selain dibarisi pemain berpengalaman di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau mahu anak-anak buahnya memberikan sepenuh tumpuan terhadap prestasi sendiri dan tidak gentar berdepan cabaran tersebut.
” Bola sepak China sangat kompetitif dan kami tahu tahap mereka lebih tinggi. Mereka mempunyai kekuatan fizikal serta pemain yang sangat berpengalaman.
“Kami tahu jurulatih mereka turut melakukan perubahan hampir separuh daripada pasukan kali ini. Sebagai jurulatih, kami perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada prestasi sendiri.
“Saya mahu pemain benar-benar percaya bahawa kami mampu bersaing dengan China esok,” katanya.
Harimau Malaya dijadual menentang China di Stadium Pusat Sukan Daerah Baharu Zhaoqing, esok sebelum mengalihkan tumpuan kepada perlawanan menentang Yemen. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
