PAROI – Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad The Cats meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan selepas turut mengesahkan tempat ke final Piala FA.
Kuching City tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Safawi Rasid meledak gol pertama seawal minit kelima bagi meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Pasukan kendalian pelawat terus menguasai permainan sebelum kapten, James Okwuosa menggandakan kelebihan pada minit ke-37 untuk menjadikan kedudukan 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Kuching City hampir menambah jaringan menerusi Jerome Mpacko Etame, namun gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Negeri Sembilan yang dibimbing Daniel Gimenez cuba bangkit dengan melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memperkuatkan jentera serangan.
Bagaimanapun, peluang terbaik tuan rumah untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-81 selepas dihadiahkan sepakan penalti.
Namun, Luqman Hakim Shamsudin gagal menyempurnakan peluang itu apabila sepakan penaltinya berjaya ditepis penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Negeri Sembilan terus mengasak pada penghujung perlawanan, namun benteng pertahanan pelawat kekal kental untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik Kuching City.
Kuching City selepas ini akan berdepan Phnom Penh Crown dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 26 November ini, manakala Negeri Sembilan dijadual menentang Terengganu FC pada 28 November. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC
