KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz mengakui kesilapan memilih kesebelasan utama menjadi punca pasukannya bergelut pada 20 minit pertama sebelum bangkit menewaskan Công An Hà Nội FC (CAHN) 3-1 dalam aksi Kumpulan B Shopee Cup 2026/2027, kelmarin.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memohon maaf secara terbuka kepada tiga pemain yang dikeluarkan menerusi pertukaran pemain seawal babak pertama selepas menyedari percaturan awalnya tidak menjadi.
Menurut Xisco, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan melakukan perubahan tersebut dan menegaskan ia bukan berpunca daripada kelemahan pemain.
“Kesilapan itu adalah daripada saya. Saya memikirkan mengenai kesebelasan terbaik, tetapi saya tersilap membuat pilihan.
“Saya memilih pemain yang tidak sepatutnya dan kemudian segera cuba mencari penyelesaian sehingga permainan berubah.
“Mereka bukan faktor kejutan. Ini sepenuhnya kesilapan saya. Mungkin saya tidak menjelaskan dengan baik apa yang saya mahukan atau apa yang diperlukan dalam perlawanan itu,” katanya selepas aksi berkenaan.
Beliau turut mengakui memahami kesukaran yang dihadapi pemain apabila dikeluarkan terlalu awal, namun menyifatkan keputusan sukar itu perlu dilakukan demi mengubah corak permainan pasukan.
“Saya benar-benar memohon maaf kerana mengeluarkan mereka selepas kira-kira 20 minit. Saya pernah menjadi pemain dan tahu betapa sukarnya situasi itu.
“Namun, ada kalanya sebagai jurulatih kita perlu membuat keputusan sukar untuk mengubah keseluruhan perjalanan perlawanan,” katanya.
Xisco berkata, JDT mula menunjukkan peningkatan selepas melakukan tiga pertukaran berkenaan apabila pemain berjaya menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan.
Katanya, pengalaman pemain yang sudah lama bekerja dengannya turut membantu JDT mengawal semula permainan ketika berdepan tekanan tuan rumah.
Sementara itu, pemain sayap JDT, Marcos Guilherme yang dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan berkata, perubahan cuaca di Hanoi bukan alasan kepada kesukaran yang dialami pasukan pada babak pertama.
Sebaliknya, beliau mengakui CAHN memberikan tentangan sengit menerusi permainan berintensiti tinggi sebelum JDT kembali mempamerkan corak permainan sebenar pada separuh masa kedua.
“Cuaca bukan masalah kepada kami. Masalahnya ialah pasukan lawan bermain dengan sangat baik dan separuh masa pertama cukup sukar.
“Namun, pada babak kedua kami bermain mengikut corak sendiri seperti diarahkan jurulatih dan memberikan yang terbaik. Saya gembira dengan keputusan ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengekalkan rekod sempurna dengan enam mata daripada dua perlawanan untuk mengungguli Kumpulan B. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
