KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Công An Hà Nội FC (CAHN), Alexandre ‘Mano’ Polking mengakui kegagalan anak buahnya menyudahkan peluang menjadi punca utama pasukan itu tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan B Shopee Cup 2026/2027, kelmarin.
Polking berkata, CAHN mencipta peluang mencukupi untuk sekurang-kurangnya memperoleh keputusan seri, namun ketumpulan penyudah menyebabkan mereka gagal memanfaatkan kelebihan ketika beraksi di laman sendiri.
Menurutnya, JDT lebih bijak mengambil kesempatan daripada peluang yang dimiliki sekali gus menjadi perbezaan utama antara kedua-dua pasukan.
“Perkataan paling tepat untuk menggambarkan perlawanan ini ialah keberkesanan. Mereka sedikit lebih tajam berbanding kami di depan gol.
“Kami mencipta peluang yang cukup baik untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata, tetapi gagal memanfaatkannya,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Hàng Đẫy itu, CAHN mengejutkan juara Malaysia berkenaan menerusi jaringan sendiri pemain JDT seawal minit ketiga.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan bangkit pada babak kedua menerusi dua gol Oscar Arribas pada minit ke-50 dan ke-85 serta jaringan Marcos Guilherme (60′).
Polking turut berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada separuh masa pertama apabila mereka berjaya mengimbangi permainan serta mengawal penguasaan bola.
“Saya benar-benar percaya kami bermain dengan baik. Pada separuh masa pertama, khususnya sebelum gol pertama mereka, CAHN sebenarnya pasukan lebih baik.
“Kami mengawal bola, membina gerakan dengan baik dan mampu bersaing seimbang dengan lawan,” katanya.
Mengulas kekuatan JDT, pengendali kelahiran Brazil-Jerman itu mengakui kelab dari Johor berkenaan berada pada tahap lebih tinggi dari segi pelaburan dan infrastruktur.
“Johor adalah antara kelab terbesar di Asia Tenggara. Mereka mendahului kami dari segi pelaburan, infrastruktur dan beberapa aspek lain.
“Namun, saya percaya CAHN bermain dengan baik ketika menentang mereka,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan JDT mengungguli Kumpulan B dengan enam mata selepas dua perlawanan, manakala CAHN kekal mengumpul tiga mata.
Polking bagaimanapun menegaskan pasukannya tidak boleh terus dibelenggu kekecewaan kerana perlu memberikan tumpuan kepada aksi menentang kelab Jepun, Vissel Kobe, Selasa depan sebelum bertemu Nam Định dalam saingan liga domestik.
Beliau turut menegaskan CAHN masih berpeluang meneruskan kemaraan dalam kejohanan itu dan akan terus berjuang mendapatkan mata diperlukan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CAHN
