BANTING – Seorang wanita cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.24 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas bergegas ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer.
"Kejadian melibatkan runtuhan bangunan kelas B berkeluasan 20 x 40 kaki persegi.
“Seorang mangsa wanita berusia 51 tahun dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan dan berjaya dikeluarkan pada pukul 5.05 petang dalam keadaan sedar. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, runtuhan turut menjejaskan sebuah bangunan surau Kafa berhampiran berkeluasan 50 x 60 kaki persegi.
“Kira-kira tujuh hingga sembilan pelajar Kafa mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat oleh petugas KKM di lokasi,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Bomba