filter: 0; fileterIntensity: 0.0; filterMask: 0; hdrForward: 0; brp_mask:0; brp_del_th:null; brp_del_sen:null; delta:null; module: photo;hw-remosaic: false;touch: (-1.0, -1.0);sceneMode: 128;cct_value: 0;AI_Scene: (-1, -1);aec_lux: 0.0;aec_lux_index: 0;HdrStatus: auto;albedo: ;confidence: ;motionLevel: -1;weatherinfo: null;temperature: 34;
KKM perkenal ‘Healthy Living Mall’ semai budaya hidup sihat
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan inisiatif terbaharu berimpak tinggi iaitu Pusat Beli-belah Mesra Pembudayaan Hidup Sihat atau Healthy Living Mall sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di AEON Mall, AU2 Setiawangsa hari ini.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan pendekatan pragmatik whole-of-nation dengan penglibatan sektor komersial dalam membudayakan gaya hidup sihat.
Menurut KKM, pusat beli-belah menjadi fokus utama pelaksanaan BMSS kali ini kerana lokasinya yang strategik, mudah diakses serta menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat.
“Selain berfungsi sebagai pusat perniagaan, pusat beli-belah juga menjadi ruang sosial, rekreasi dan hiburan keluarga sekali gus berpotensi menyemai nilai hidup sihat dalam kalangan pengunjung,” jelas kenyataan itu.
Healthy Living Mall menyediakan persekitaran mesra kesihatan dengan elemen riadah, aktiviti fizikal, kawasan bebas asap rokok serta pilihan makanan selamat dan berkhasiat.
Antara komponen utama yang diperkenalkan ialah laluan berjalan, ruang permainan dan rekreasi, ‘healing space’ bagi kesihatan mental, promosi produk berlogo Healthier Choice (HCL), serta larangan merokok berpandukan Akta 852 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok.
Selain itu, program kitar semula e-waste bersama sukarelawan MyCHAMPION serta promosi mesej kesihatan melalui media sedia ada di pusat beli-belah turut dilaksanakan.
KKM turut menggesa pengusaha premis makanan dan minuman supaya menyokong usaha kerajaan dengan menyediakan menu lebih sihat untuk pengunjung.
Dalam pada itu, KKM dengan kerjasama 28 cawangan AEON Mall di seluruh negara telah melaksanakan program Mall Walking sejak 1 hingga 20 September bagi mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pusat beli-belah dengan langkah terbanyak dalam kempen berjalan.
“KKM terus komited memastikan inisiatif ini berjaya selaras dengan Agenda Kesihatan Negara dan nilai MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan serta ihsan,” tambah kenyataan itu. - DETIK MALAYSIA