KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan terus komited dalam menjaga kebajikan pemandu teksi, kereta sewa serta bas sekolah di seluruh negara melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau Lindung Kendiri.
Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM3.5 juta disalurkan bagi menaja caruman skim berkenaan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dana tersebut tidak membabitkan peruntukan kerajaan sebaliknya hasil daripada kutipan jualan Nombor Plat Istimewa (NPI).
“Hasil jualan NPI inilah yang membolehkan Kementerian melaksanakan lebih banyak inisiatif kebajikan dan keselamatan jalan raya.
"Usaha ini akan diteruskan agar sumber tersebut dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, langkah itu membuktikan iltizam kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pemandu terus diutamakan.
“Marilah kita sama-sama mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan, demi membina Malaysia Madani yang lebih selamat dan berdaya maju,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB ANTHONY LOKE