KUCHING – Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang bekalan selesa selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA Malaysia 2025/2026 di Stadium Negeri, Sarawak, malam tadi.
Skuad bimbingan Xisco Muñoz itu mempamerkan corak permainan bertenaga dengan gandingan mantap trio serangan terdiri daripada Bergson Da Silva, Jairo Da Silva dan Arif Aiman, namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Haziq Nadzli, banyak menafikan percubaan berbahaya pelawat.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi sentuhan berbisa Bergson yang memperdaya tiga pertahanan Kuching City sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Haziq untuk kedudukan 1-0.
Memasuki babak kedua, Bergson sekali lagi menjadi watak utama apabila menambah gol kedua JDT pada minit ke-50 selepas memanfaatkan kesilapan benteng lawan untuk meletakkan pasukan itu selesa mendahului 2-0.
Tidak rela mengaku kalah di gelanggang sendiri, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bangkit memberi tentangan dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-69 apabila Petrus Shitembi menyambar bola muntah dalam kotak penalti untuk merapatkan jurang jaringan.
Kuching City terus menggandakan tekanan pada penghujung permainan bagi mencari gol penyamaan, namun benteng JDT kekal ampuh mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu memberi kelebihan agregat 2-1 buat Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, dengan peluang cerah untuk mengesahkan slot ke final Piala FA edisi kali ini. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - JST