KOTA KINABALU – Segala-galanya bakal ditentukan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya selepas Selangor FC dan Sabah FC terikat 2-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA Malaysia 2025/2026 di Stadium Likas, malam tadi.
Selangor yang baru tersingkir daripada Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas tewas 2-3 kepada Persib Bandung, turun dengan misi kebangkitan apabila pengendali sementara, Christophe Gamel, melakukan beberapa rombakan taktikal termasuk menyenaraikan kembali Faisal Halim di jentera serangan.
Sabah pula mempertaruhkan sentuhan prolifik penyerang Bosnia, Ajdin Mujagic, yang sekali lagi menjadi watak penting buat skuad kendalian Jean-Paul de Marigny itu.
Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Alvin Fortes, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid. Selangor terus dirundung kecewa apabila Fortes sekali lagi dinafikan gol pada minit ke-18, juga akibat ofsaid.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-13 apabila Mujagic pantas menyambar bola muntah selepas percubaan awalnya ditepis penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel, untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan asakan ke kubu lawan namun sukar menembusi pertahanan kental Sabah. Gamel kemudian memasukkan Fazly Mazlan dan Willian Lira bagi menambah tenaga baharu dan pertukaran itu nyata membuahkan hasil.
Pada minit ke-64, hantaran lintang Fazly yang kelihatan seperti umpanan biasa berubah menjadi jaringan apabila bola terkena paha Dane Ingham sebelum melambung masuk ke gawang untuk kedudukan 1-1.
Momentum Selangor semakin memuncak dan minit ke-80, Faisal Halim melakukan hantaran lencong tepat ke dalam kotak penalti yang disempurnakan Nooa Laine dengan tandukan untuk meletakkan Red Giants di depan 2-1.
Namun, Sabah enggan menyerah dan Mujagic muncul penyelamat sekali lagi pada minit ke-90, memanfaatkan kelekaan benteng Selangor untuk menyamakan kedudukan 2-2, sekali gus menghidupkan peluang mereka ke final menjelang aksi timbal balik nanti.
Kedua-dua pasukan bakal berentap dalam aksi penentuan pada 30 November ini di Stadium MBPJ, menyaksikan perebutan sengit untuk slot ke final Piala FA edisi 2025/2026.
Sebelum aksi timbal balik, Selangor akan bertemu Kelantan The Real Warriors FC pada 22 November manakala Sabah melayan kunjungan Penang FC pada 23 November dalam saingan Liga Super Malaysia.
Foto kredit - SFC