KUALA LUMPUR – Muslim Scientist Conference 2025 menegaskan keperluan mendesak bagi negara majoriti Muslim membangunkan keupayaan penyelidikan, pembangunan serta pengeluaran vaksin sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk farmaseutikal dari Barat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang juga sekretariat persidangan, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, para perwakilan persidangan bersetuju bahawa pergantungan penuh terhadap vaksin luar mendedahkan negara Islam kepada kelewatan akses, ketidaksamarataan pembekalan, kos tinggi serta tekanan geopolitik, khususnya ketika berdepan pandemik dan darurat kesihatan global.
Menurut Mohd Azmi, usaha membangunkan vaksin sendiri bukan sekadar agenda akademik, tetapi tuntutan strategik demi keselamatan kesihatan awam, kedaulatan penyelidikan dan etika kemanusiaan.
"Persidangan merumuskan tiga faktor utama yang menguatkan keperluan tersebut iaitu keselamatan kesihatan awam, kedaulatan saintifik dan pertimbangan etika serta ekonomi.
"Bagi memastikan langkah tersebut dapat direalisasikan, persidangan mencadangkan penubuhan Konsortium Penyelidikan dan Pengeluaran Vaksin Serantau Dunia Muslim melibatkan kerjasama universiti, institusi penyelidikan, syarikat farmaseutikal, kementerian kesihatan serta rakan antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keutamaan konsortium itu merangkumi pembangunan platform vaksin berasaskan penyakit yang dominan di negara majoriti Muslim, pemantapan makmal serta keupayaan ujian klinikal, latihan generasi baharu pakar vaksinologi, pembangunan hab pengilangan serta memastikan semua pelaksanaan berlandaskan etika dan keadilan akses.
"Dunia Islam memiliki sumber manusia, sejarah kecemerlangan saintifik serta potensi kolaborasi yang besar, namun memerlukan komitmen politik, pelaburan dan koordinasi jangka panjang bagi mencapai kemerdekaan dalam ekosistem vaksin global.
“Menghidupkan kembali kegemilangan sains Islam bukan lagi pilihan tetapi suatu kewajipan demi melindungi generasi kini dan akan datang,” katanya.
Persidangan turut menyeru kerajaan, institusi dan komuniti saintifik bertindak segera bagi memastikan kedaulatan kesihatan menjadi realiti. - DETIK MALAYSIA