BANGKOK – Persediaan Thailand selaku tuan rumah Sukan SEA ke-33 menerima tamparan hebat apabila Kemboja mengejutkan rantau ini dengan menarik diri daripada lapan acara, termasuk bola sepak dan sepak takraw, hanya beberapa hari sebelum temasya bermula.
Penarikan diri itu dimaklumkan secara rasmi melalui sepucuk surat daripada Jawatankuasa Olimpik Kemboja kepada Presiden Persekutuan Sukan SEA, Chaipak Siriwat, yang menyatakan faktor keselamatan atlet dan pegawai sebagai alasan utama.
Kemboja pada awalnya mendaftar untuk menyertai 21 acara tetapi kini memilih untuk bertanding dalam 13 acara sahaja, iaitu renang, olahraga, e-sukan, anggar, gimnastik, jiu-jitsu, kickboxing, taekwondo, ekuestrian, jet ski, triathlon, teqball dan bola tampar.
Antara acara yang digugurkan termasuk judo, karate, pencak silat, pétanque, gusti, wushu serta dua acara berprofil tinggi iaitu bola sepak dan sepak takraw yang merupakan sukan teras dalam ekosistem Sukan SEA.
Perkembangan itu memberi impak paling besar kepada acara bola sepak selepas kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Kemboja diundi dalam kumpulan yang sama dengan Thailand.
Dengan penarikan diri tersebut, penganjur berdepan kemungkinan mengadakan undian semula pada saat akhir, sekali gus menimbulkan cabaran logistik buat Thailand.
Ketua kontinjen Thailand, Thana Chaiprasit, mengakui keputusan itu dibuat tanpa sebarang petanda awal.
Ironinya, beberapa hari lalu, laporan menyatakan hampir 300 atlet Kemboja telah menerima majlis pelepasan rasmi daripada Menteri Sukan negara itu. Namun, selepas penarikan diri dalam semua acara berpasukan, jumlah kontinjen dijangka merosot kepada kurang 100 atlet.
Walaupun jumlah lebih kecil mungkin memudahkan aspek keselamatan, perubahan drastik tersebut dianggap menjejaskan jadual pertandingan selain menggugat kerangka penganjuran yang telah lama dirancang.
Penarikan diri di saat-saat akhir ini dianggap hadir pada waktu paling kritikal menjelang majlis pembukaan. Selain kekacauan jadual, tindakan itu turut dilihat mampu mengurangkan daya saing dan kehangatan temasya sukan terbesar Asia Tenggara tersebut. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - The Phnom Penh Post