Wanita dalam video bersama Albert Tei dicari SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang muncul dalam klip video tular melibatkan perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, supaya tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, wanita berkenaan diperlukan segera bagi membantu siasatan kes membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, pihaknya kini sedang mengesan wanita terbabit dan meminta individu berkenaan hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember 2025.

“SPRM juga telah menghubungi Albert Tei dan meminta beliau hadir ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama,” kata kenyataan itu.

SPRM dalam pada itu menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan menyerahkan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas serta menyeluruh. - DETIK MALAYSIA