AMPANG – Seorang wanita berusia 29 tahun berputih mata apabila telefon bimbit, beg bagasi berisi pakaian dan wang tunai RM4,500 miliknya lesap dipercayai dicuri kenalan sendiri di Taman Permai Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, mangsa dimaklumkan anak perempuannya mengenai kehilangan itu sekitar pukul 1.40 petang pada 28 November lalu sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, suspek seorang wanita warganegara Myanmar yang dikenalinya sejak tiga bulan lalu dan telah diberikan tumpang di rumah kerana tiada tempat tinggal.
“Ketika mangsa tiada di rumah, suspek dipercayai memasuki bilik tidur utama dan melarikan barang-barang milik pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan membawa kepada tangkapan suspek pada 1 Disember lalu kira-kira pukul 11.30 malam di Taman Nirwana, Ampang.
“Polis turut merampas telefon bimbit, pakaian dan beg bagasi bagi membantu siasatan,” katanya.
Mahkamah telah membenarkan reman empat hari ke atas suspek bermula 2 hingga 5 Disember 2025.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - DETIK MALAYSIA