NAKHON PATHOM, Thailand – Technical Delegate Sukan SEA 2025, Datuk Abdul Halim Kader (AHK) menegaskan bahawa masa depan sukan sepaktakraw dan chinlone di peringkat serantau amat bergantung kepada tahap integriti, disiplin serta tanggungjawab pengadil dan pegawai teknikal di gelanggang.
Dalam satu taklimat khas yang diadakan malam tadi, Abdul Halim mengingatkan bahawa peranan pengadil bukan sekadar melaksanakan peraturan, sebaliknya memikul amanah besar untuk menjaga kejujuran dan maruah sukan di mata dunia.
“Jangan sekadar bertugas, tetapi jadilah pelindung maruah sukan kita,” katanya.
Menurut beliau, disiplin merupakan tunjang kepada profesionalisme dan kredibiliti pengadilan, merangkumi ketegasan dalam membuat keputusan, ketepatan pelaksanaan tugas serta pematuhan masa.
Katanya, segala tugasan rasmi ditetapkan bermula sebelum pukul 8.30 pagi sebagai simbol budaya kerja berprestasi tinggi dan berintegriti.
Dalam perkembangan sama, Abdul Halim turut berkongsi hala tuju pembangunan sepaktakraw di Asia termasuk persiapan ke arah Sukan Asia Nagoya yang disifatkan berjalan lancar.
Bagi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur pula, beliau memaklumkan beberapa acara bakal diberi penilaian semula termasuk Hoop Takraw, manakala Sepak Raga Tuju akan diketengahkan secara lebih teliti dan chinlone dikekalkan dengan pelan pembangunan baharu.
“Inisiatif ini bertujuan memodenkan sukan tanpa mengabaikan warisan asalnya,” jelas beliau.
Selain aspek teknikal, Abdul Halim turut menekankan pentingnya pengurusan harian yang teratur melibatkan kehadiran, persediaan peralatan dan pemakaian uniform yang lengkap sebelum bertugas.
Beliau turut mengumumkan program mentorship selama sembilan hingga 12 bulan untuk pengadil terpilih, dengan penilaian berdasarkan rekod tugasan, laporan serta markah teknikal sebagai usaha melahirkan barisan pengadil bertaraf tinggi di Asia.
Menyentuh soal integriti, Abdul Halim memberi jaminan bahawa beliau bersama panel penguat kuasa akan terus mempertahankan undang-undang sukan serta memastikan setiap keputusan dibuat tanpa sebarang kompromi.
“Selagi kita menjaga integriti, sukan ini akan terus dihormati di peringkat dunia,” katanya.
Taklimat berkenaan disifatkan sebagai peringatan moral dan profesional kepada semua pengadil, sekali gus mengangkat peranan mereka sebagai penjaga keadilan dan martabat sukan Asia Tenggara. - DETIK MALAYSIA
Dilaporkan oleh: ASTAF News Desk | SEA Games 2025 Thailand