JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz tetap berbangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya meskipun tewas 1-2 kepada Al-Ahli Saudi dalam aksi suku akhir AFC Champions League Elite 2025/26.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan kemaraan bersejarah juara Liga Malaysia tersebut di pentas Asia, namun Muñoz menegaskan JDT tetap mampu memberi saingan sengit sepanjang perlawanan.
“Saya fikir kami mempamerkan prestasi yang baik. Pasukan bersaing, kekal dalam permainan dan menunjukkan karakter,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa detik penting khususnya sebelum waktu rehat menjadi titik penentu perlawanan.
“Kami perlu lebih matang sebelum separuh masa. Itu momen di mana kami sepatutnya boleh mengawal permainan dengan lebih baik.”
Menurutnya, hilang fokus serta kelemahan dalam organisasi pertahanan menjadi faktor yang menghukum pasukan ketika berdepan lawan bertaraf tinggi.
Pada masa sama, Muñoz turut mengakui cabaran besar yang diberikan Al-Ahli yang memiliki kualiti, kepantasan serta kelebihan dari segi transisi serangan.
“Kami hilang tumpuan dalam beberapa situasi, terutama detik penting di bahagian pertahanan. Pada tahap ini, setiap perincian sangat penting.”
Walaupun kecewa, beliau melihat pengalaman ini sebagai satu proses pembelajaran penting buat JDT untuk terus berkembang di pentas Asia.
“Sudah tentu kami sedih, tetapi kami perlu belajar dan perbaiki kelemahan. Inilah proses untuk kami berkembang,” katanya.
Tambahnya, untuk bersaing dengan kelab elit Asia, bukan sahaja disiplin taktikal diperlukan, malah kekuatan mental juga menjadi kunci utama.
“Kami perlu kawal detik-detik penting ini dengan lebih baik dari sudut mental dan taktikal. Itu langkah seterusnya,” ujarnya.
Kemaraan hingga ke suku akhir menjadi pencapaian bersejarah buat JDT dan bola sepak Malaysia, sekali gus membuktikan mereka kini berada dalam kelompok elit Asia.
Muñoz tetap optimis terhadap masa depan pasukan.
“Kami akan bekerja lebih keras dan kembali lebih kuat musim depan. Kami mahu tampil lebih baik dalam pertandingan ini.”
Walaupun perjalanan mereka terhenti di kelompok lapan terbaik, JDT membuktikan mereka bukan sekadar peserta, sebaliknya pencabar yang layak berada di pentas tertinggi Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC