NONTHABURI – Skuad futsal kebangsaan lelaki Malaysia membuka kempen SEA Games 2025 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Vietnam 4-2 di Nonthaburi PAO Gymnasium, di sini.
Vietnam bermula garang dengan menguasai tempo dan penguasaan bola sebelum mendahului perlawanan pada minit ke-17 menerusi Da Hai yang pantas menyambar bola hasil kekecohan di hadapan gawang susulan percubaan berturut-turut Ngoc Anh.
Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Diego Giustozzi terus menekan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun Malaysia kekal tenang dan menunjukkan disiplin tinggi.
Usaha keras skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila Nasir menyamakan kedudukan hasil gerakan solo pantas yang mengubah momentum perlawanan memihak Malaysia.
Walaupun Vietnam terus mendominasi penguasaan bola, beberapa kelekaan di benteng pertahanan serta kelemahan mengawal situasi bola mati dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia untuk menambah dua lagi jaringan, sekali gus mendahului 3-1 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila meledak gol keempat bagi menjadikan kedudukan 4-1, sekali gus meletakkan Vietnam dalam tekanan hebat.
Vietnam cuba bangkit dengan beralih kepada taktikal power play, namun ketangkasan benteng pertahanan dan aksi cemerlang penjaga gol Malaysia berjaya menafikan asakan bertali arus lawan.
Gol kedua Vietnam hadir di penghujung perlawanan menerusi sentuhan tumit Manh Dung, namun jaringan itu sekadar merapatkan kedudukan tanpa mampu menghalang Malaysia daripada meraih kemenangan sulung.
Malaysia dijadualkan bertemu Myanmar dalam aksi ketiga peringkat kumpulan pada 17 Disember ini, sekali lagi di Nonthaburi PAO Gymnasium. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - IMANE