KUALA LUMPUR – Pada usia 52 tahun, Ghazali bin Marali bukan sekadar seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Pegawai Waran 1, sebaliknya menjadi simbol disiplin, kesetiaan dan ketekunan yang lahir daripada akar umbi sukan tradisi Nusantara.
Berasal dari Kampung Indarason Laut, Kudat, Sabah, dan kini menetap di Lumut, Perak, perjalanan hidup Ghazali membuktikan bahawa bakat yang diasah dengan disiplin dan keikhlasan mampu mengangkat seseorang ke pentas antarabangsa.
Minat beliau terhadap sukan bermula seawal usia 12 tahun apabila tampil sebagai tekong di kampung halaman. Bakat semula jadi yang dimiliki menjadikan Ghazali antara pemain terbaik di peringkat daerah sebelum haluan hidupnya berubah apabila menyertai TLDM pada 1996.
Di dalam angkatan laut, kemahiran sukan beliau dimanfaatkan sepenuhnya apabila diberi peranan sebagai jurulatih jasmani. Setiap anggota TLDM diwajibkan memilih sama ada menjadi pemain atau pengadil, dan Ghazali memilih laluan yang jarang dipilih tetapi penuh amanah dalam dunia kepengadilan.
Langkah rasmi beliau bermula pada 2000 menerusi kursus pengadil Kelas 3 peringkat negeri Perak, sebelum mengikuti kursus Kelas 3 kebangsaan pada 2002. Komitmen dan konsistensi akhirnya membuahkan hasil apabila beliau dilantik sebagai Pengadil Angkatan Tentera Malaysia pada 2008.
Setahun kemudian, Ghazali melangkah lebih jauh dengan menyertai kursus pengadil ASTAF di Terengganu pada 2009, sekali gus membuka laluan ke arena antarabangsa.
Sejak itu, namanya terus meniti dalam kalangan pengadil bertaraf dunia apabila diberi kepercayaan mengadili hampir 20 kejohanan antarabangsa, satu pencapaian besar bagi pengadil dari rantau Asia Tenggara.
Kemuncak perjalanan tersebut hadir apabila Ghazali dipilih mengadili perlawanan akhir Chinlone di Sukan SEA, satu penghormatan tertinggi yang mengangkat kewibawaan pengadil Malaysia di mata Asia.
Bagi Ghazali, setiap tugasan di luar negara bukan sekadar amanah, malah ruang pembelajaran untuk menimba pengalaman.
“Saya sentiasa melihat sistem penganjuran, kemudahan dan tahap profesionalisme luar negara untuk dijadikan rujukan bagi meningkatkan mutu pengadilan dan pengurusan kejohanan di Malaysia,” katanya.
Dalam nada penuh penghormatan, Ghazali turut menyifatkan Datuk Abdul Halim Kader sebagai seorang pemimpin berkarisma, berintegriti dan profesional, selain sangat prihatin terhadap kebajikan pengadil.
Beliau berkongsi bagaimana Abdul Halim menunjukkan keprihatinan luar biasa ketika dirinya berdepan masalah kesihatan, termasuk bertanya khabar, memberi sokongan moral dan mencadangkan rawatan sesuai.
“Kepimpinan seperti inilah yang wajar dijadikan contoh dalam pengurusan organisasi sukan,” ujarnya.
Sebagai nasihat kepada generasi pengadil baharu, Ghazali menegaskan kepentingan penguasaan undang-undang permainan, kefahaman mendalam terhadap pengurusan pertandingan, serta komunikasi berkesan dan saling menghormati dalam kalangan rakan pengadil.
“Tanpa asas ini, pengadilan tidak akan mencapai tahap profesional sebenar,” katanya.
Ghazali juga merakamkan penghargaan kepada Abdul Halim atas kepercayaan yang diberikan untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa.
Kepercayaan itu, katanya, bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi dorongan untuk terus belajar, memperbaiki diri dan berkhidmat dengan penuh integriti demi martabat sukan dan negara. - DETIK MALAYSIA