IPOH - Usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia hanya mampu direalisasikan sekiranya nilai integriti dijadikan teras utama dalam setiap pelaksanaan tugas dan amanah, khususnya dalam kalangan kepimpinan serta pembuat keputusan organisasi.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed berkata, komitmen berterusan terhadap prinsip integriti dan akauntabiliti perlu diterjemahkan secara konsisten bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Komitmen terhadap integriti dan ketelusan akan menjadi pemangkin kepada tadbir urus yang baik, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Antirasuah Bersama Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Negeri Perak Tahun 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
Program berkenaan disertai seramai 35 peserta termasuk 12 Ahli Lembaga Pengarah serta pegawai dan kakitangan SADC Perak, dengan objektif memberi pendedahan lebih mendalam berkaitan peranan, tanggungjawab serta akauntabiliti pengurusan tertinggi dalam mencegah rasuah dan salah guna kuasa.
Sebagai manifestasi iltizam dan komitmen bersama dalam menolak sebarang bentuk perlakuan rasuah, sesi melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) telah diketuai oleh Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADC Perak, Mohd. Azhar Mohd. Yusuf berkata, program berkenaan menekankan kepentingan kesedaran integriti dan antirasuah di samping menyebarluaskan mesej pencegahan rasuah kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat, bangsa atau agama. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - IHSAN SPRM