PETALING JAYA – Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, dilantik secara rasmi sebagai Pengarah Teknikal baharu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkuat kuasa 1 Disember 2025, menggantikan Oscar Francisco Gonzalez.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, dalam satu sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 22 Disember lalu.
Menurut beliau, keputusan melantik Ong Kim Swee dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada usia 55 tahun, Ong Kim Swee yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dianggap calon paling sesuai berikutan pengalaman luas serta kefahaman mendalam beliau terhadap pembangunan bola sepak akar umbi dan elit negara.
Beliau mempunyai lebih dua dekad pengalaman kejurulatihan, bermula dengan membentuk bakat muda di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum menjadi tonggak penting dalam program Harimau Muda, seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.
Antara pencapaian utama Ong Kim Swee termasuk:
Juara Piala Belia (2007)
Naib Juara Piala Belia (2008)
Juara Liga Perdana (2009)
Pingat Emas Sukan SEA (2011)
Juara Piala Merdeka (2013)
Pingat Perak Sukan SEA (2017)
Suku akhir Kejohanan AFC B-23 (2018)
Layak ke pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018
Di peringkat pentadbiran, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di FAM termasuk Ketua Unit Belia, Penolong Pengarah Teknikal dan Pengarah Teknikal FAM pada 2021.
Di peringkat kelab pula, bekas pemain Melaka, Sarawak dan Sabah era 1990-an itu memulakan karier kejurulatihan bersama Melaka pada 2005 sebelum mengemudi Sabah FC dari Oktober 2021 hingga November 2024.
Beliau kemudian menimba pengalaman di Indonesia sebagai ketua jurulatih Persis Solo (November 2024 – Jun 2025) dan Persik Kediri (Jun – November 2025) sebelum kembali ke tanah air bagi menggalas tanggungjawab bersama NFDP.
Pelantikan Ong Kim Swee dijangka menjadi titik penting dalam usaha memperkukuh semula ekosistem pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi menerusi perancangan lebih tersusun, pelaksanaan berkesan serta laluan pembangunan jangka panjang.
Sebagai peneraju baharu NFDP, beliau memikul amanah besar untuk membina asas kukuh bola sepak Malaysia demi melahirkan generasi pemain yang lebih berkualiti, berdaya saing dan mampu bersaing di peringkat serantau serta Asia. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Goal Thailand