SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa penganut Kristian di rantau ini supaya secara terbuka menolak ideologi Zionisme Kristian yang disifatkan sebagai ancaman serius terhadap kelangsungan agama Kristian di Tanah Suci.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan solidariti penuh terhadap Patriarch dan Ketua-Ketua Gereja di Baitulmaqdis, selain menyokong pendirian tegas pemimpin Kristian berkenaan yang memberi amaran terhadap Zionisme Kristian serta campur tangan ideologi politik luar yang mengancam perpaduan, integriti dan kelangsungan komuniti Kristian di Palestin.
Menurut beliau, kenyataan terbaharu pemimpin kanan gereja di Baitulmaqdis itu disifatkan sebagai berani dan bersejarah kerana menegaskan bahawa Zionisme Kristian bukanlah ajaran teologi berteraskan keadilan, belas ihsan atau ajaran Nabi Isa a.s.
Sebaliknya, ia merupakan ideologi politik yang memperalatkan agama bagi menghalalkan penjajahan, perampasan tanah dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Dengan menamakan Zionisme Kristian sebagai ideologi yang merosakkan, gereja-gereja bersejarah di Baitulmaqdis telah mempertahankan autoriti rohani Kristian, perpaduan komuniti Kristian tempatan serta integriti moral agama itu sendiri,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mapim menegaskan bahawa Zionisme Kristian bukan sahaja gagal melindungi penganut Kristian, malah terbukti memberi kesan buruk terhadap komuniti tersebut.
Antara bukti yang dikenal pasti termasuk penyusutan mendadak populasi Kristian Palestin, rampasan tanah dan harta gereja, gangguan terhadap operasi sekolah Kristian akibat sekatan pergerakan serta peningkatan keganasan peneroka Israel yang menyasarkan tapak dan institusi Kristian.
Menurut Mapim , ideologi yang kononnya mendakwa memberi ‘berkat kepada Israel’ itu sebenarnya mempercepatkan kemusnahan salah satu tamadun Kristian tertua di dunia.
Mapim turut melahirkan kebimbangan terhadap pengaruh kumpulan evangelikal ekstremis, khususnya dari Amerika Syarikat, yang mempromosikan sokongan politik dan kewangan tanpa syarat terhadap penjajahan Israel.
Kenyataan itu menyebut bahawa fahaman “prosperity gospel” yang mengaitkan kekayaan material dengan restu Tuhan serta tafsiran teologi yang menyisihkan penganut Kristian Palestin adalah bentuk manipulasi agama demi kuasa dan keuntungan.
“Ini bukan pengabdian agama, tetapi pemesongan iman untuk kepentingan politik,” tegas MAPIM.
Mapim turut menyokong pendirian gereja-gereja di Baitulmaqdis yang menyifatkan kehadiran aktor Zionisme Kristian pada peringkat rasmi sebagai satu bentuk campur tangan tidak boleh diterima dalam urusan dalaman gereja.
Menurut kenyataan itu, tiada mana-mana gerakan politik luar berhak mengatasi autoriti kepimpinan Kristian tempatan, bercakap bagi pihak Kristian di Tanah Suci atau mengorbankan komuniti Kristian asal demi agenda geopolitik.
“Kristian di Palestin telah wujud jauh lebih awal daripada Zionisme dan tidak akan mampu bertahan sekiranya ideologi tersebut terus dipaksakan ke atas mereka,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Mapim menyeru gereja-gereja di Timur Tengah, majlis Kristian di Asia dan Afrika serta pemimpin agama dan cendekiawan Kristian supaya secara terbuka mengisytiharkan penolakan terhadap Zionisme Kristian.
Mapim menegaskan bahawa pendirian itu penting bagi mempertahankan komuniti Kristian Palestin, gereja-gereja bersejarah di Baitulmaqdis serta prinsip keadilan, keamanan dan maruah kemanusiaan.
“Diam pada saat ini bukan bersifat berkecuali. Ia hanya akan membenarkan penghapusan berterusan,” menurut kenyataan tersebut.
Sebagai umat Islam, Mapim menegaskan bahawa perlindungan terhadap komuniti Kristian, gereja dan tapak suci di Palestin merupakan tanggungjawab moral dan keagamaan bersama.
Menurutnya, konflik yang berlaku bukanlah pertentangan agama, sebaliknya perjuangan menentang ketidakadilan dan penjajahan.
“Umat Islam dan Kristian di Palestin telah hidup bersama selama berabad-abad dan masa depan mereka tidak boleh dikorbankan demi ideologi import yang mendakwa mandat ketuhanan,” jelas kenyataan itu.
Mapim menegaskan bahawa Zionisme Kristian mesti ditolak secara jelas dan terbuka demi mempertahankan kelangsungan Kristian di Tanah Suci, maruah penganut Kristian Palestin serta kredibiliti moral agama dalam dunia yang sarat ketidakadilan. - DETIK MALAYSIA