KUALA NERUS – Asosiasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad terus mengukir pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai The Best Homestay Malaysia 2025 pada Majlis Anugerah Seri Iman Negeri Terengganu yang berlangsung hujung tahun lalu.
Pengiktirafan berprestij itu sekali gus meletakkan Teluk Ketapang sebagai antara destinasi homestay komuniti terbaik negara serta berstatus industri pelancongan berpiawaian ASEAN.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Datuk Razali Idris, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa dalam pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Pengasas Asosiasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad, Azmi Abdul Aziz, berkata kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan masyarakat kampung sejak lebih sedekad lalu.
“Penghargaan ini adalah milik seluruh komuniti Teluk Ketapang. Ia membuktikan bahawa homestay bukan sekadar kemudahan penginapan, sebaliknya medium memperkenalkan budaya, nilai dan kehidupan masyarakat tempatan,” katanya.
Bermula secara sederhana
Asosiasi Homestay Teluk Ketapang ditubuhkan secara rasmi pada 2008, bermula dengan penyertaan beberapa buah rumah penduduk yang diurus secara tersusun dan mengikut piawaian industri.
Menurut Azmi, konsep pelancongan komuniti yang diketengahkan telah membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat tanpa mengorbankan identiti kampung dan warisan budaya negeri.
Usaha berterusan itu menyaksikan homestay Teluk Ketapang berkembang menjadi antara model terbaik pembangunan industri pelancongan desa di Malaysia.
Jaringan kerjasama antarabangsa
Kejayaan tersebut turut diperkukuhkan melalui hubungan strategik antarabangsa, khususnya dengan Indonesia yang terjalin sejak 2007 menerusi kerjasama bersama Pemerintah Kota Bukittinggi dan seterusnya Kota Sawahlunto.
Kerjasama berkenaan merangkumi program pertukaran pelajar, pembangunan belia dan pertukaran budaya yang kini melibatkan lebih 20 kabupaten dan bandar di Indonesia, termasuk Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan serta beberapa wilayah di Sumatera.
Hubungan serantau itu bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan, malah memperluaskan jaringan pendidikan dan kebudayaan di peringkat ASEAN.
Pada 2023, Asosiasi Homestay Teluk Ketapang mencatat satu lagi pencapaian apabila menganjurkan Olimpiade ASEAN dengan kerjasama Real Edu Indonesia (REI), melibatkan penyertaan beberapa negara Asia Tenggara.
Pengiktirafan nasional
Penghargaan The Best Homestay Malaysia 2025 diberikan berdasarkan penilaian terhadap pencapaian ekonomi, tahap pengurusan, kualiti perkhidmatan serta pematuhan piawaian homestay ASEAN.
Sebagai penghargaan, asosiasi tersebut menerima sijil pengiktirafan berserta geran pembinaan berjumlah RM2,000 daripada kerajaan negeri.
Azmi menegaskan, anugerah tersebut bukan penamat kepada perjalanan yang telah dibina.
“Pengiktirafan ini menjadi amanah agar kami terus mengekalkan kualiti, memperkukuh kerjasama strategik dan bersedia menghadapi cabaran industri pelancongan, khususnya menjelang Visit Malaysia 2026,” katanya.
Kejayaan Homestay Teluk Ketapang membuktikan bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu menjadi pemacu pelancongan mampan, sekali gus mengangkat nama Terengganu dan Malaysia di peringkat antarabangsa. - DETIK MALAYSIA