BANGI – Asatizah hospital perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada keperluan klinikal dalam sistem kesihatan negara dan bukan sekadar berperanan sebagai pembimbing ibadah semata-mata.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sensitiviti agama memainkan peranan penting dalam mempengaruhi emosi serta tahap pematuhan pesakit terhadap pelan rawatan, khususnya dalam kalangan pesakit Islam yang sering membuat keputusan perubatan berasaskan kefahaman agama.
Menurutnya, hospital bukan hanya tempat rawatan fizikal, malah menjadi ruang timbulnya persoalan kerohanian yang mendalam melibatkan makna ujian, penderitaan dan harapan, justeru memerlukan sokongan spiritual yang berstruktur dan profesional.
“Agama merupakan sumber ketenangan, kekuatan dan ketabahan pesakit. Islam sebagai cara hidup yang syumul perlu diterjemahkan secara menyeluruh termasuk dalam ekosistem kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Simposium Asatizah Hospital 2026 bertemakan “Mengoptimum Potensi, Mempertingkat Kualiti” di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), semalam.
Dzulkefly turut menegaskan peranan asatizah amat penting dalam isu bioetika perubatan termasuk pendermaan dan pemindahan organ, yang selari dengan prinsip Maqasid Syariah khususnya Hifz al-Nafs atau pemeliharaan nyawa.
Katanya, kekeliruan hukum sering menjadi penghalang kepada pendermaan organ walaupun institusi kefatwaan negara telah memberikan penjelasan yang jelas, sekali gus memerlukan peranan aktif asatizah sebagai pemudah cara spiritual kepada pesakit dan keluarga.
Dalam pada itu, beliau mengakui profesion asatizah hospital kini semakin diterima dalam sistem kesihatan, namun masih berdepan cabaran besar termasuk ketiadaan piawaian latihan, dan kerangka akreditasi profesional yang menyeluruh.
“Kita tidak boleh terus bergerak secara ‘business as usual’. Asatizah hospital perlu dilengkapi kompetensi khusus merangkumi fiqh perubatan, bioetika Islam dan sokongan psikospiritual agar khidmat yang diberikan benar-benar selamat dan berimpak,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar model akreditasi profesional seperti dalam industri kewangan Islam dijadikan rujukan bagi membangunkan standard latihan asatizah hospital secara lebih tersusun.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa agama dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh bagi melahirkan generasi asatizah yang profesional, berasaskan data serta relevan dengan keperluan sistem kesihatan moden.
Mengulas resolusi simposium, Dzulkefly memberi jaminan bahawa semua cadangan akan diberi perhatian sewajarnya oleh kementerian bagi memastikan peranan asatizah hospital terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Simposium julung kali di peringkat nasional itu menghimpunkan asatizah hospital daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, hospital universiti, sektor swasta serta penyertaan serantau termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Majlis dianjurkan oleh Medic IG Training, Education and Consultancy, dengan kerjasama Hospital Pakar An-Nur dan AQWA Training and Consultancy. - DETIK MALAYSIA