SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya apa yang disifatkan sebagai “strategi pemusnahan sistematik” Israel di Gaza, sambil menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) secara jelas tidak berniat menghentikan pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, apa yang berlaku di Gaza bukan lagi peperangan, sebaliknya kempen penghapusan yang dilaksanakan melalui serangan ketenteraan berskala besar, pembunuhan orang awam dan pemusnahan segala keperluan asas kehidupan.
“Coraknya amat jelas iaitu bom, kelaparan, pengusiran, kemusnahan, kemudian pengunduran taktikal sementara sebelum kembali menyerang semula. Ini bukan keselamatan, ini adalah keganasan negara,” katanya dalam satu hari ini.
Menurutnya, seluruh keluarga di Gaza telah terkorban, manakala rumah, hospital, sekolah, masjid, gereja, kem pelarian dan konvoi bantuan berulang kali menjadi sasaran serangan.
“Sistem kesihatan Gaza telah dilumpuhkan secara sengaja. Air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan dijadikan senjata. Ini bukan kerosakan sampingan, tetapi hukuman kolektif dan penghapusan,” katanya.
Mohd. Azmi berkata, objektif sebenar kini jelas iaitu menjadikan Gaza tidak lagi boleh didiami.
“Pembunuhan besar-besaran terhadap orang awam diikuti dengan retorik ‘jeda kemanusiaan’, ‘koridor bantuan’ dan ‘penempatan semula’, yang hanya menutup realiti kemusnahan kekal tanpa keadilan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu bukan lagi operasi ketenteraan, tetapi pemusnahan demografi.
Mapim turut mengecam peranan AS yang didakwa terus membekalkan senjata, risikan, sokongan diplomatik serta perlindungan politik kepada Israel.
“Dengan menyekat gencatan senjata dan melindungi Israel daripada akauntabiliti antarabangsa, AS telah membuktikan bahawa ia tidak berniat menghentikan genosid ini,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA