KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) secara rasmi mendedahkan struktur baharu Jelajah Dunia BWF bagi kitaran 2027 hingga 2030, menyaksikan perubahan besar apabila kejohanan Super 100 kini diserap sepenuhnya sebagai sebahagian daripada Jelajah Dunia.
Dalam pengumuman terbaharu itu, BWF memperkenalkan sistem enam peringkat yang lebih tersusun, bermula dengan BWF World Tour Finals sebagai Tahap 1, sekali gus kekal sebagai kemuncak kalendar badminton dunia.
Di Tahap 2 (Super 1000), lima kejohanan elit mengekalkan status mereka iaitu Malaysia Open, Indonesia Open, All England Open, China Open dan Denmark Open.
Bagi Tahap 3 (Super 750), lima kejohanan utama disenaraikan iaitu China Masters, French Open, India Open, Japan Open dan Hong Kong Open.
Sementara itu, Tahap 4 (Super 500) menampilkan sembilan kejohanan dengan tumpuan besar di Asia Tenggara termasuk Malaysia Masters, Indonesia Masters, Thailand Open dan Singapore Open, selain Japan Masters, Korea Open, Australian Open, German Open serta Arctic Open di Finland.
Tahap 5 (Super 300) pula melibatkan lapan kejohanan yang merangkumi Thailand Masters, Taipei Open, Macau Open, Swiss Open, Orleans Masters (Perancis), Hylo Open (Jerman), Canada Open dan US Open.
Perubahan paling ketara adalah Tahap 6 (Super 100), yang kini diiktiraf sebagai sebahagian rasmi Jelajah Dunia. Antara kejohanan baharu termasuk Philippines Open, Vietnam Open dan Dutch Open, manakala Syed Modi International di India dikekalkan.
BWF turut memberikan kejohanan tambahan Super 100 kepada China, Indonesia dan Malaysia sebagai platform pembangunan bakat tempatan.
Struktur baharu ini dijangka memperkukuh ekosistem badminton global serta memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk bersaing di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA