SHAHA ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya keputusan Kabinet Keselamatan Israel meluluskan pengembangan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki, menyifatkannya sebagai jenayah perang dan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid menegaskan tindakan tersebut bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi satu bentuk penjajahan kolonial yang menafikan hak rakyat Palestin serta menutup ruang kepada penyelesaian damai.
“Jika pengembangan penempatan ini dibiarkan tanpa akibat, ia menghantar mesej bahawa kuasa mengatasi undang-undang. Dunia mesti bertindak sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim menggesa masyarakat antarabangsa beralih daripada kecaman berbentuk retorik kepada tindakan konkrit.
Katanya, ia termasuk mengenakan tekanan diplomatik dan ekonomi, menguatkuasakan larangan perdagangan berkaitan penempatan haram serta menyokong proses perundangan antarabangsa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). – DETIK MALAYSIA