SHAH ALAM – Sebarang naratif yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) sebagai satu-satunya kuasa global yang berhak bertindak bagi pihak dunia atau berada di atas undang-undang antarabangsa ditolak sekeras-kerasnya.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dakwaan sedemikian bukan sahaja mengangkat satu negara melebihi kehendak kolektif masyarakat antarabangsa, malah bercanggah dengan prinsip asas Piagam United Nations (PBB), khususnya larangan penggunaan kekerasan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara.
Beliau berkata, Artikel 2(4) Piagam PBB dengan jelas melarang penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik sesebuah negara kecuali atas dasar mempertahankan diri atau dengan kebenaran Majlis Keselamatan PBB.
Katanya, campur tangan ketenteraan unilateral tanpa mandat PBB secara asasnya melanggar norma tersebut.
Mapim turut merujuk beberapa tindakan lalu yang dikritik oleh penganalisis undang-undang antarabangsa, termasuk pencerobohan ke atas Panama pada 1989 serta pembunuhan bersasar terhadap pegawai tentera Iran pada 2020 yang dipersoalkan oleh pelapor khas hak asasi manusia PBB.
Selain itu, badan itu menyatakan bahawa keputusan International Court of Justice (ICJ) dalam kes sekatan terhadap Iran sebelum ini turut menunjukkan bahawa tindakan unilateral boleh dikenakan semakan dan batasan undang-undang.
“Contoh-contoh ini membuktikan bahawa akauntabiliti undang-undang terpakai kepada semua negara, termasuk kuasa besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim menegaskan, mendakwa hanya satu negara boleh bertindak secara sah bagi pihak dunia khususnya melalui kekuatan ketenteraan adalah bertentangan dengan tujuan penubuhan sistem PBB.
“Piagam PBB diwujudkan bagi menghalang negara berkuasa menggunakan kekuatan sesuka hati dan memastikan keamanan serta keselamatan diurus secara kolektif,” katanya.
Tambah beliau, sejarah termasuk perang Iraq 2003 yang tidak mempunyai mandat jelas PBB menjadi contoh bagaimana tindakan unilateral boleh melemahkan seni bina keselamatan global.
Mapim menegaskan bahawa kepimpinan antarabangsa sebenar harus dinilai berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan negara, Piagam PBB, hak asasi manusia dan mekanisme penyelesaian pertikaian antarabangsa
“Tiada negara, walau sebesar mana pun kuasanya, wajar diletakkan di atas undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa semua negara menyokong sistem antarabangsa berasaskan peraturan, memperkukuh peranan PBB dan memastikan prinsip undang-undang antarabangsa dipatuhi secara sama rata.
“Keamanan dan keselamatan antarabangsa hanya boleh dipertahankan melalui tindakan kolektif, penghormatan terhadap Piagam PBB dan pematuhan norma asas yang mengikat semua negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI