CHERAS – Kuala Lumpur City FC sekali lagi membuktikan mereka bukan mudah tumbang apabila bangkit menewaskan Terengganu FC 2-1 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
Tersentak dengan gol awal pelawat, skuad warga kota itu hampir tersingkir sebelum mempamerkan kebangkitan dramatik di babak kedua.
Terengganu terlebih dahulu ‘menggigit’ tuan rumah pada minit ke-20 menerusi rembatan jarak jauh padu Akhyar Rashid yang gagal diselamatkan penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad.
Gol itu menyaksikan TFC lebih selesa mengatur permainan dengan benteng pertahanan mereka berjaya mengekang asakan Victor Ruiz dan rakan sepasukan sepanjang separuh masa pertama.
Namun, kebangkitan KL City bermula sebaik babak kedua bersambung. Kemasukan pemain berpengalaman, Paulo Josue, jelas mengubah rentak permainan tuan rumah.
Pada minit ke-78, Kamal Azizi melakukan hantaran lintang tepat ke dalam kotak penalti sebelum disudahkan Victor Ruiz untuk gol penyamaan 1-1 sekali gus menggegarkan stadium.
Ketika aksi seakan menuju masa tambahan, Paulo Josue muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan untuk memastikan KL City melangkah ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
Kini, KL City hanya menunggu pemenang antara Johor Darul Ta’Zim atau Melaka FC untuk aksi separuh akhir.
Apa pun, satu lagi malam penuh drama buat penyokong The City Boys yang sekali lagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka bangkit tepat pada waktunya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KL City