LHOK SUKON – Prihatin nasib mangsa banjir dan tanah runtuh di Aceh, beberapa pertubuhan sosial dari Kuala Terengganu tampil menghulurkan bantuan berjumlah kira-kira RM80,000 kepada penduduk terjejas.
Misi kemanusiaan yang berlangsung dari 12 hingga 14 Februari itu menyaksikan sumbangan berbentuk wang tunai, al-Quran serta barangan keperluan asas diagihkan kepada mangsa yang terkesan dalam bencana pada 26 November tahun lalu.
Presiden Asosiasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad, Mohd Azmi Abdul Azis berkata, bantuan tersebut disalurkan kepada penduduk di Kecamatan Muara Batu dan Kecamatan Sawang, Kabupaten Aceh Utara.
Antara kampung atau gampong yang menerima sumbangan ialah Gampong Pintu Makmur, Gampong Palohraya, Gampong Paya Rabo Lhok, Gampong Riseh Tengoh dan Gampong Babah Buloh.
“Kami datang dari jauh dengan hati yang tulus untuk membantu saudara-saudara kami yang diuji musibah. Jangan dilihat pada jumlahnya, tetapi ini tanda kami turut merasai penderitaan mereka,” katanya dipetik laporan Mimbar Sumbar.
Menurut beliau, dana bantuan berkenaan dihimpunkan hasil sumbangan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi di Kuala Terengganu.
Antaranya Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Terengganu, Tabung Fund For Ummah (FFU) Koperasi Homestay Teluk Ketapang dan Perhubungan Puteri Islam Malaysia (PPIM).
Turut menyumbang ialah Persatuan Pesara Pegawai Pengkhidmatan Pendidikan (5PKN) Daerah Kuala Nerus, Majlis Masjid Beladau Kolam Kuala Terengganu, Persatuan Bio Natural Islam Malaysia, Quinara Al Safir Resort Kuala Nerus, Persatuan Kampung Stay dan Homestay Terengganu, Kampung Stay ABC Wakaf Bharu Kuala Nerus serta sumbangan individu.
Dalam pada itu, misi pengagihan bantuan tersebut turut disertai Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Kuala Nerus, Mohd Hasli Mat Ali dan Setiausaha PPKM Bahagian Terengganu, Abdullah Muhamad.
Bantuan itu diharap dapat meringankan beban penduduk Aceh yang masih berdepan kesan bencana, selain mengukuhkan hubungan serumpun Malaysia-Indonesia dalam semangat kemanusiaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Mimbar Sumbar