SHAH ALAM – Isu kelayakan pemain Kuching City FC, Moses, terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air selepas keputusan membabitkan kad kuning pemain berkenaan ditarik balik.
Sebagai penyokong yang mengikuti setiap perlawanan melibatkan Selangor FC, Anak Selangor Fan Club (ASFC) mendakwa menerima maklumat bahawa pemain tersebut tidak layak diturunkan ketika aksi menentang Gergasi Merah kerana telah mengumpul tiga kad kuning sebelum ini.
Perkara itu mencetuskan bantahan rasmi oleh Selangor FC kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali gus membuatkan penyokong menunggu keputusan rasmi badan induk berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan menyaksikan kad kuning tersebut ditarik balik, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai konsistensi serta ketelusan pengadilan.
Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid berkata, keputusan itu mengecewakan dan menimbulkan tanda tanya besar terhadap integriti pertandingan.
“Sebagai penyokong yang mengikuti setiap perlawanan Selangor FC, kami menerima maklumat bahawa pemain tersebut sudah mengumpul tiga kad kuning sebelum ini. Apabila bantahan dibuat, kami menunggu keputusan rasmi dengan penuh harapan. Namun apabila kad kuning itu boleh ditarik balik, ia benar-benar menimbulkan persoalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan membatalkan kad kuning berkenaan boleh membuka ruang kepada lebih banyak pertikaian pada masa hadapan.
“Kalau kad kuning boleh dibatalkan selepas bantahan, bagaimana pula dengan kad merah atau gol yang dibatalkan? Keputusan pengadilan perlu dibuat secara tegas, adil dan konsisten tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Malaysian Football League (MFL) agar memastikan mutu pengadilan serta penggunaan VAR benar-benar berada pada tahap terbaik.
“MFL galakkan penyokong penuhkan stadium, itu usaha yang baik. Tetapi mutu pengadilan dan keberkesanan VAR juga perlu seiring. Jangan sampai pelaburan besar dibuat, namun pelaksanaannya gagal dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya.
ASFC menegaskan akan terus memantau perkembangan lanjut demi memastikan integriti Liga Malaysia terus terpelihara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Mohd Faizal Wahid