KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan Republik Islam Iran berhak sepenuhnya di sisi undang-undang antarabangsa untuk menolak tekanan politik berlebihan, sekatan unilateral serta ancaman ketenteraan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat atau mana-mana kuasa luar.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tiada negara wajar dipaksa tunduk melalui ugutan, paksaan atau tekanan geopolitik kerana tindakan sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip kedaulatan sama rata seperti termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau, peningkatan ancaman dan kempen tekanan terhadap Iran mencerminkan pola hegemoni yang berpotensi menggugat kestabilan antarabangsa serta melemahkan kredibiliti institusi tadbir urus global.
“Komuniti antarabangsa perlu sedar bahawa tindakan unilateral berasaskan kepentingan hegemonik bukan sahaja mengancam keamanan Asia Barat, malah boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut memberi amaran bahawa sebarang konfrontasi ketenteraan melibatkan Iran bakal membawa kesan bencana melangkaui rantau Timur Tengah.
Kedudukan strategik Iran berhampiran laluan tenaga utama dunia seperti Selat Hormuz berisiko menyebabkan gangguan bekalan minyak global, mencetuskan kejutan ekonomi serta meningkatkan tekanan inflasi di seluruh dunia. Negara membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin dijangka menerima kesan paling teruk.
Selain itu, peningkatan ketegangan berpotensi mencetuskan konflik serantau lebih besar melibatkan pelbagai pakatan dan kuasa utama dunia termasuk Rusia dan China, sekali gus memperdalam polarisasi global serta menggugat kestabilan sistem antarabangsa.
Mapim turut menegaskan bahawa sekatan ekonomi unilateral merupakan bentuk hukuman kolektif yang memberi kesan tidak seimbang kepada rakyat awam serta bercanggah dengan semangat norma kemanusiaan antarabangsa.
“Penggunaan sekatan sebagai instrumen politik akan terus menghakis kepercayaan terhadap institusi antarabangsa dan mengukuhkan persepsi bahawa undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara terpilih,” ujarnya.
Mengimbas konflik di Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria, Mapim menyifatkan dasar campur tangan ketenteraan sebelum ini telah membawa kepada krisis kemanusiaan, perpecahan negara dan ketidakstabilan berpanjangan tanpa menjamin keamanan berkekalan.
Dalam masa sama, Mapim berpandangan bahawa peningkatan tekanan terhadap Iran tidak boleh dipisahkan daripada krisis serantau yang lebih luas termasuk tragedi berterusan di Gaza.
Sehubungan itu, Mapim menyeru negara-negara Global South, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), rakan BRICS serta semua pihak bertanggungjawab agar memainkan peranan konstruktif bagi mengelakkan eskalasi dan mengutamakan penyelesaian diplomatik berasaskan saling hormat dan undang-undang antarabangsa. – DETIK MALAYSIA