JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melontarkan kritikan keras terhadap landskap bola sepak negara, menyifatkan wujudnya ‘hipokrasi tulen’ dalam kalangan pihak tertentu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Tunku Ismail menegaskan bahawa tumpuan terhadap isu seperti mutu pengadilan dan perdebatan pemain warisan dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar yang membelenggu bola sepak Malaysia sejak sekian lama.
Menurutnya, terdapat beberapa kegagalan asas yang sepatutnya diberi perhatian serius.
Antaranya isu kewangan apabila beliau mempersoalkan kepimpinan lama yang didakwa menahan bayaran hak penyiaran televisyen serta masalah tunggakan gaji yang berlarutan.
Selain itu, Tunku Ismail turut menyentuh soal kemudahan infrastruktur apabila mempersoalkan mengapa masih ada pasukan beraksi di padang yang disifatkan sebagai “rumput lembu” dengan lampu limpah malap serta fasiliti yang uzur.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan jurang pembangunan akar umbi termasuk ketiadaan struktur kompetitif belia yang mantap dan ketiadaan pusat latihan khusus bagi pasukan yang telah bertahun-tahun bertanding.
Pemilik kelab Harimau Selatan itu turut menyifatkan naratif bahawa bola sepak Malaysia sudah ‘mati’ sebagai alasan mudah untuk menutup kelemahan pengurusan sesetengah pihak.
“Presiden, jurulatih dan pemain datang dan pergi, tetapi konsistensi JDT tidak boleh dinafikan. Cara paling mudah untuk membutakan penyokong adalah dengan menuding jari kepada isu lain supaya kelemahan dan kegagalan sendiri dapat ditutup. Hipokrasi tulen,” tegasnya.
Kenyataan tersebut pantas mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati Liga Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – HRH Crown Prince of Johor