KUALA LUMPUR – Konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah ketika ini tidak tercetus secara tiba-tiba, sebaliknya bermula dengan serangan terancang oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari 2026.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan yang melibatkan ratusan serangan udara ke atas beberapa bandar di Iran itu menyasarkan pelbagai lokasi ketenteraan dan kepimpinan negara tersebut.
Menurut beliau, tindakan tersebut mencetuskan salah satu konfrontasi ketenteraan paling serius di rantau itu dalam beberapa dekad.
“Rejim AS-Israel kini dilaporkan turut menyasarkan sekolah, hospital, kemudahan komuniti serta kawasan kediaman.
“Serangan berskala besar ini telah mencetuskan ketegangan serius yang berpotensi menjerumuskan rantau Timur Tengah ke dalam konflik lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi menegaskan bahawa apabila peperangan dimulakan melalui tindakan ketenteraan berskala besar, tanggungjawab untuk menghentikan konflik tersebut terletak kepada pihak yang memulakannya.
Katanya, serangan balas Iran menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat serta sekutunya di rantau itu berlaku selepas serangan awal berkenaan.
“Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara lazimnya menuntut hak mempertahankan diri apabila diserang.
“Namun, sebarang peningkatan konflik yang boleh meluaskan medan peperangan akan mengancam kestabilan global serta keselamatan jutaan orang awam,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa agar beberapa langkah segera diambil bagi meredakan ketegangan, antaranya menghentikan permusuhan serta-merta, melindungi orang awam, menghormati kedaulatan semua negara dan kembali kepada rundingan diplomatik serta pengantaraan antarabangsa.
Menurut Mohd Azmi, dunia Islam serta komuniti antarabangsa tidak boleh membiarkan konflik ini berkembang menjadi perang serantau yang boleh membawa kesan bencana.
Tambah beliau, ketika tumpuan dunia tertumpu kepada konfrontasi geopolitik, penderitaan rakyat Palestin masih berterusan.
“Punca ketidakstabilan di Timur Tengah tidak boleh dipisahkan daripada isu Palestin yang masih belum diselesaikan serta pendudukan yang berterusan,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan komuniti antarabangsa perlu bertindak tegas bagi menghalang eskalasi konflik dan memulihkan laluan ke arah keadilan, keamanan serta kestabilan di rantau berkenaan. – DETIK MALAYSIA