ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya 91 peratus pendapatan kelab itu pada tahun 2024 berpunca daripada dana awam atau kerajaan.
Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak tepat, tidak berasas dan berpunca daripada salah faham terhadap struktur kewangan sebenar kelab itu.
Menurutnya, kekeliruan timbul apabila akaun kewangan yang telah diaudit menyenaraikan beberapa entiti termasuk Majlis Sukan Negeri Johor sebagai saluran berkaitan aliran tajaan.
Bagaimanapun jelas beliau, amalan tersebut merupakan prosedur biasa di Malaysia apabila dana tajaan daripada syarikat swasta disalurkan melalui majlis sukan negeri atau kebangsaan.
“Kaedah ini membolehkan syarikat penaja menikmati insentif cukai bagi sumbangan mereka terhadap pembangunan sukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers hari ini
Menurut JDT, sebahagian besar tajaan swasta kepada kelab itu disalurkan melalui majlis sukan, sekali gus mungkin menimbulkan tanggapan bahawa dana tersebut datang daripada sumber kerajaan.
Jelas kelab itu lagi, sebarang geran atau sumbangan kerajaan yang direkodkan hanya digunakan untuk program pembangunan bola sepak akar umbi termasuk penganjuran kejohanan remaja dan aktiviti pembangunan di seluruh daerah di Johor.
Tambahnya, dana tersebut kebanyakannya diagihkan melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta persatuan bola sepak daerah bagi menyokong pembangunan bakat muda.
“Geran kerajaan tidak digunakan untuk operasi kelab seperti pengurusan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT atau penyelenggaraan aset kelab,” jelas kenyataan itu.
JDT menegaskan operasi bola sepak profesional kelab itu dibiayai secara bebas menerusi hasil komersial, perjanjian penajaan serta kerjasama sektor swasta.
Menurut kelab itu, penjelasan tersebut dibuat bagi memastikan orang ramai memahami struktur kewangan sebenar JDT serta menangkis naratif mengelirukan yang tular di media sosial. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST