SHAH ALAM – Maruah umat Islam pada hari ini dilihat masih tercabar selagi Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin terus berada di bawah penjajahan Zionis Israel.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu Palestin bukan sekadar konflik wilayah, sebaliknya melibatkan persoalan aqidah, sejarah, kemanusiaan serta maruah umat Islam seluruh dunia.
Menurut beliau, selagi bumi Palestin terus dijajah dan Masjid Al-Aqsa berada di bawah cengkaman kekuatan ketenteraan Israel, selagi itulah maruah umat Islam terus tercabar.
“Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam, tanah para nabi dan simbol kesatuan umat. Apabila ia dihina serta diceroboh, seluruh umat Islam sebenarnya sedang diuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam realiti geopolitik semasa, Palestin kini menjadi medan pertembungan antara kuasa penindas dan gerakan penentangan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Beliau berkata, antara negara yang dilihat memainkan peranan besar dalam menyokong gerakan penentangan Palestin ialah Iran yang sejak revolusi 1979 meletakkan pembebasan Palestin sebagai agenda penting dasar luar negara tersebut.
“Iran secara terbuka memberi sokongan politik, kewangan dan ketenteraan kepada beberapa gerakan penentangan Palestin seperti Hamas dan Palestinian Islamic Jihad sebagai sebahagian daripada rangkaian yang dikenali sebagai ‘Axis of Resistance’.
“Sokongan ini dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha menyeimbangkan kekuatan Israel yang mendapat sokongan kuat daripada Amerika Syarikat dan sekutunya,” jelasnya.
Tambahnya, ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang semakin memuncak ketika ini juga menunjukkan bahawa isu Palestin tidak lagi bersifat konflik tempatan, sebaliknya telah menjadi pusat pertembungan kuasa global.
Menurut beliau, kekuatan Israel dilihat banyak bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat, manakala blok penentangan yang disokong Iran cuba mewujudkan keseimbangan kuasa bagi menghalang Israel bertindak tanpa batas di rantau tersebut.
“Dalam kerangka ini, kekuatan atau kemenangan Iran sering dilihat sebagai faktor yang boleh mengubah imbangan kuasa di Timur Tengah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembebasan Palestin tidak boleh bergantung kepada satu negara sahaja, sebaliknya memerlukan kebangkitan kesedaran seluruh umat Islam.
Katanya, usaha itu juga memerlukan kerjasama negara-negara Islam, tekanan politik antarabangsa serta keteguhan rakyat Palestin sendiri dalam mempertahankan tanah air mereka.
“Sejarah membuktikan penjajahan tidak akan runtuh hanya dengan retorik. Ia hanya boleh ditumbangkan melalui gabungan ketabahan rakyat yang dijajah, sokongan umat yang luas serta perubahan imbangan kuasa global.
“Jika umat terus berpecah, Palestin akan terus menjadi mangsa. Namun jika umat bersatu, pembebasan Al-Aqsa bukan lagi sekadar mimpi,” ujarnya.
Tambah beliau, Al-Aqsa bukan sekadar tanah Palestin tetapi simbol maruah umat Islam.
“Apabila Al-Aqsa bebas, maruah umat akan terangkat. Apabila Palestin merdeka, sejarah akan mencatat bahawa umat Islam kembali bangkit mempertahankan amanah mereka,” katanya. – DETIK MALAYSIA